Biasakan kongsi lokasi anda dengan keluarga, orang terdekat

Sudah banyak aplikasi disediakan kepada pengguna telefon pintar seperti Life360 dan FindMy yang boleh dimanfaatkan demi keselamatan diri, tidak kira sama ada lelaki atau pun wanita. Gambar hiasan
Sudah banyak aplikasi disediakan kepada pengguna telefon pintar seperti Life360 dan FindMy yang boleh dimanfaatkan demi keselamatan diri, tidak kira sama ada lelaki atau pun wanita. Gambar hiasan
A
A
A

ORANG ramai perlu membiasakan diri untuk berkongsi mengenai keberadaan diri setiap waktu kepada keluarga atau individu yang boleh dipercayai terutamanya ketika berseorangan di luar.

Sudah banyak aplikasi disediakan kepada pengguna telefon pintar seperti Life360 dan FindMy yang boleh dimanfaatkan demi keselamatan diri, tidak kira sama ada lelaki atau pun wanita.

Selain itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa cakna dengan keadaan persekitaran dan tidak terlalu fokus dengan telefon bimbit lebih-lebih lagi ketika berada di kawasan terpencil.

Bagi individu yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja setiap hari, anda perlu memastikan laluan tersebut adalah selamat dan jika boleh gunakan jalan berbeza bagi mengelakkan pergerakan anda menjadi sasaran.

Tahun ini saja sudah banyak berita menyayat hati dilaporkan berkaitan orang hilang yang ditemui dalam keadaan luar jangka.

Benar, jika sudah tertulis suratan takdir seperti itu, ia tetap terjadi tetapi kita sebagai manusia perlu berusaha untuk melakukan sehabis baik bagi melindungi diri daripada sebarang perbuatan jenayah atau keburukan.

Sebelum ini, Mila Shamila Samsusah atau Bella dilaporkan hilang selepas keluar ke dobi bersama teman lelakinya pada 14 Disember 2023, jam 11.50 malam.

Pada 23 Januari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan rangka yang ditemui di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7 Tongkang Pecah adalah milik wanita berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kes sama melibatkan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang menggemparkan negara apabila berita kehilangannya akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tanpa kepala ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik guru berkenaan.

Dalam minggu sama, kejadian itu turut berlaku terhadap penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang dilaporkan hilang 13 Ogos lalu dan ditemui telah meninggal dunia di sungai sekitar Jambatan Sungai Klang pada 14 Ogos.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak Selasa selepas keluar rumah pada 7.45 petang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.

Kehilangan arwah mula disedari apabila dia gagal dihubungi dan ahli keluarga hanya menemui telefon bimbit serta dompet sahaja di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Rentetan daripada beberapa kes kehilangan ini, jelaslah perkongsian lokasi bersama orang terdekat atau keluarga sangat penting bagi memastikan keberadaan anda sentiasa diketahui.

Bak kata pepatah malang tidak berbau, lebih baik ambil langkah berjaga-jaga sejak awal bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!