Antara pempengaruh berilmu dan 'pakar' teori bumi bentuk donat
TULAR video siaran langsung seorang anak muda mengetengahkan teori bumi sebenarnya berbentuk donat dengan hujah mengelirukan.
Ini bukan kali pertama individu yang baru ditamatkan pengajian dari sebuah universiti itu mencetuskan dakwaan kontroversi di media sosial. Dia digelar sebagai seorang pempengaruh kerana mempunyai ramai mengikut terutama golongan muda.
Tidak dinafikan di era digital kini, pempengaruh media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan masyarakat. Tapi, tidak semua pempengaruh menyediakan input bermanfaat atau berdasarkan fakta.
Misalnya teori bumi berbentuk donat tanpa bukti saintifik dan bertentangan dengan pemahaman geofizik yang diterima umum ini. Penyebaran teori sebegini boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham. Jika dibiarkan, hujah seperti penglipur lara itu boleh merosakkan fikiran orang lain.
Merak Jalanan menyokong penuh sesiapa sahaja yang berusaha mendalami sesuatu ilmu. Namun, jika mahu berkongsi secara umum terutama di media sosial, ilmu itu perlu diceritakan secara jelas jika ia sekadar satu teori.
Ini bagi mengelak orang lain mudah percaya dan menyebarkannya kerana teruja mendengar perkara baharu yang dianggap luar biasa.
Oleh itu, penting untuk membezakan antara pempengaruh yang menyediakan maklumat berasaskan fakta dan mereka yang mempromosikan pandangan tidak berasaskan bukti.
Ramai pempengaruh yang pakar dalam bidang masing-masing seperti masakan, pertanian, kesihatan dan sukan yang patut kita contohi. Kebanyakan mereka juga berpendidikan tinggi dan bekerja dalam industri tersebut.
Jadi, Merak Jalanan harap orang ramai yang aktif di melayari media sosial seperti TikTok agar tidak mudah percaya dengan ‘pakar’ yang memberi hujah meragukan.
Dengar boleh, percaya jangan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!