Tempoh kritikal buat rantau Asia Barat

Sumber risikan mendakwa Hizbullah dijangka memulakan serangan dalam operasi berasingan sebelum Iran melakukan tindak balas sendiri ke atas Israel.
Sumber risikan mendakwa Hizbullah dijangka memulakan serangan dalam operasi berasingan sebelum Iran melakukan tindak balas sendiri ke atas Israel.
A
A
A

TEHERAN - Kita perlu 'menghukum' Israel atas perbuatan mereka membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan melanggar kedaulatan Teheran.

Kenyataan itu dibuat jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani mengulangi amaran tegas beberapa pegawai kanan lain sejak awal bulan lalu.

Tetapi, jangka masa sebenar serangan menuntut bela itu bakal dilancarkan terus menjadi teka-teki kepada banyak pihak.

Iran kini sedang melalui proses peralihan kuasa di bawah Presiden Masoud Pezeshkian selain senarai barisan Kabinet beliau masih belum diluluskan Parlimen.

Hal itu bermakna Iran berkemungkinan mahu memfokuskan hal dalaman negara itu terlebih dahulu sebelum mengambil langkah lebih drastik ke atas Tel Aviv.

Penganalisis Isu Asia Barat di badan pemikir, Chatham House berpusat di London, Sanam Vakil berkata, Pezeshkian selaku pemimpin reformis sudah semestinya cuba mengimbangi keperluan untuk menunjukkan kekuatan kepada musuh dan memfokuskan kepentingan kerajaan.

“Sebelum ini, beliau pernah berikrar untuk memulihkan hubungan dengan Barat bagi memastikan sekatan ekonomi ke atas Teheran ditarik balik selain memastikan Iran tidak lagi menghadapi 'pengasingan' antarabangsa.

“Sebarang respons yang memberi impak besar perlu dibuat dengan teliti agar tidak menutup pintu rundingan dan membawa kepada langkah menarik balik sekatan ke atas Teheran,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tetapi, jika operasi itu benar-benar dilancarkan, Iran sudah semestinya akan membedil Israel dari pelbagai arah dan dalam bentuk serangan yang berbeza.

Hizbullah terus memperhebatkan serangan rentas sempadan ke atas Israel.
Hizbullah terus memperhebatkan serangan rentas sempadan ke atas Israel.

Hal ini kerana, proksi Teheran terdiri daripada Hamas, Hizbullah dan Huthi adalah antara 'sumber kekuatan utama' mereka yang berupaya mengebom sasaran dari utara Tel Aviv hingga ke Laut Merah.

Sumber risikan mendakwa Hizbullah dijangka memulakan serangan dalam operasi berasingan sebelum Iran melakukan tindak balas sendiri ke atas Israel.

Maklumat terbaharu pula mendedahkan operasi berskala besar itu mungkin akan dilancarkan menjelang pusingan baharu rundingan gencatan senjata Gaza yang dijadualkan pada Khamis, sekali gus menjadikan sepanjang minggu ini sebagai tempoh yang amat kritikal buat rantau Asia Barat.

Pada April lalu, Teheran mengambil masa selama 13 hari sebelum 'menghukum' rejim Zionis dengan membedil kira-kira 300 misil dan dron sebagai respons terhadap serangan ke atas kedutaan mereka di Damsyik.

Ia merupakan serangan pertama secara terus dilakukan Teheran setelah 'perang rahsia' melalui darat, laut, udara dan ruang siber selama bertahun-tahun.

Perang Lubnan 2006 simbol penentangan Zionis

Iran memperingati ulang tahun ke-18 Perang Lubnan yang menyaksikan konflik Hizbullah-Israel berlarutan selama 33 hari telah menjadi simbol penentangan terhadap entiti Zionis.

Pada 2006, Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Beirut dengan menyasarkan kedudukan pejuang Hizbullah, namun kempen pencerobohan itu berjaya ditangkis pejuang Hizbullah, sekali gus menggagalkan objektif perang Tel Aviv.

Peperangan itu bermula pada 12 Julai tahun sama sebelum pelaksanaan gencatan senjata pada 14 Ogos, meskipun konflik itu sebenarnya berakhir pada 8 September apabila Israel diarahkan menarik balik armada tentera laut mereka dari perairan Lubnan.

“Perang tersebut akan terus dikenang sebagai kemenangan besar rakyat di rantau Asia Barat. Ia merupakan kejayaan gemilang pejuang Hizbullah,” ujar Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan.

Pada masa itu, Israel yang kehilangan lebih 100 askar juga terpaksa akur desakan banyak pihak untuk menerima Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan sengketa tersebut.

“Tanggal 23 Ogos pula diisytiharkan sebagai Hari Gerakan Penentangan yang turut digambarkan oleh Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei sebagai hari ketika kumpulan pejuang di bawah paksi itu mengembalikan semula maruah kepada dunia Arab dengan kejatuhan rejim Zionis,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurutnya, kemenangan itu dicapai melalui perpaduan meskipun berbeza mazhab dan keazaman kolektif rakyat Lubnan yang berani menentang entiti penjajah tersebut.

Kementerian itu juga menegaskan pendirian berprinsip Iran menyokong gerakan penentangan tersebut sepanjang 18 tahun lalu terutamanya ketika kumpulan pejuang saling bangkit menentang rejim Zionis kerana melancarkan perang genosid ke atas Genting Gaza yang kini sudah berlarutan selama lebih 10 bulan.

Lubnan-Israel pernah terlibat dua peperangan pada tahun 2000 dan 2006. Pejuang Hizbullah memainkan peranan besar dalam kedua-dua konflik berkenaan dan berjaya mengusir rejim Zionis.

Gerakan Hizbullah ditubuhkan sebagai respons terhadap kempen pencerobohan Israel di selatan Beirut pada 1982 dan kemudiannya berkembang menjadi kuasa tentera yang digeruni musuh hingga kini. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!