Kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam diumum hari ini
PUTRAJAYA -Tumpuan 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara pastinya terarah kepada perhimpunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung pagi Jumaat.
Selepas 13 tahun tiada semakan, paling dinantikan adalah perincian tepat mengenai pelarasan gaji, setelah beberapa pengumuman berkaitan dibuat sebelum ini.
Barangkali ia mungkin akan menjadi durian runtuh paling manis sepanjang pengajuran MAPPA ini.
Masakan tidak, semasa sambutan Hari Pekerja yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan pelarasan gaji penjawat awam melebihi13 peratus, tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.
MAPPA ke-19 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 10 pagi akan dirasmikan Anwar yang dijangka antara lain turut menyentuh mengenai perincian pelarasan gaji dalam ucapannya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan penjawat awam dijangka menikmati kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 42.7 peratus.
Seramai 692,828 kakitangan kumpulan pelaksana melibatkan pegawai Gred 40 dan ke bawah dijangka menikmati kenaikan pendapatan sehingga 42.7 peratus.
Biar berapa pun kadar pelarasan gaji yang akan diumumkan nanti, ia perlulah disambut dengan kesyukuran oleh penjawat awam serta membuktikan komitmen mereka.
Ini selaras dengan penekanan yang disuarakan Anwar beberapa kali sebelum ini berhubung prestasi penjawat awam.
Malah, Anwar secara konsisten dan terbuka memberi amaran mana-mana penjawat awam yang culas, malas, bermasalah dan tidak cekap, tidak layak menikmati kenaikan gaji.
Langkah itu bagi memastikan kenaikan gaji tidak berlaku secara automatik sepenuhnya, berikutan pelaksanaan kenaikan gaji yang lazim mengikut tahun perkhidmatan ada ketikanya turut membabitkan penjawat awam bermasalah.
Selain itu, rakyat juga menanti layanan terbaik penjawat awam daripada pelbagai sektor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!