Lima termasuk doktor didakwa atas kematian Matthew Perry
SERAMAI lima orang didakwa dalam kematian pelakon siri Friends, Matthew Perry berkaitan dadah tahun lepas, kata polis.
Kesemua lima orang yang didakwa itu termasuk dua doktor dan pembantu peribadi pelakon itu.
Menurut polis, hasil siasatan yang dilancarkan pada Mei lepas membongkar "rangkaian jenayah pasaran gelap yang luas" melibatkan pembekal dadah yang mengedarkan sejumlah besar ketamin.
Perry, 54, meninggal dunia di rumahnya di Los Angeles pada Oktober 2023.
Bedah siasat ke atas mayat mendiang menemui kepekatan tinggi ketamin dalam darahnya dan menentukan "kesan akut" bahan terkawal itu telah membunuhnya.
"Defendan ini mengambil kesempatan daripada isu ketagihan Perry untuk meraih kekayaan bagi diri mereka," kata peguam Martin Estrada pada Khamis.
"Mereka tahu apa yang mereka lakukan adalah mempertaruhkan bahaya besar kepada Perry, tetapi mereka tetap melakukannya."
Tiga daripada defendan - termasuk pembantu Perry - telah mengaku bersalah atas tuduhan dadah, manakala dua lagi - seorang doktor dan seorang wanita yang dikenali sebagai "The Ketamine Queen" - telah ditangkap pada Khamis, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Ketamin merupakan anestetik yang kuat digunakan sebagai rawatan untuk kemurungan, kebimbangan dan kesakitan.
Dalam kalangan mereka yang rapat dengan Perry memberitahu siasatan koroner selepas kematiannya bahawa aktor itu sedang menjalani terapi infusi ketamin.
Bagaimanapun, sesi terakhirnya telah berlangsung lebih seminggu sebelum kematiannya.
Pemeriksa perubatan berkata, ketamin dalam sistem tubuh Perry tidak mungkin daripada terapi infusi kerana separuh hayat ubat itu pendek.
Paras ketamin dalam badannya adalah setinggi jumlah yang diberikan semasa anestesia am, menurut pemeriksa perubatan.
Dakwaan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan memperincikan skim pembelian dadah yang rumit yang menurut pendakwa akhirnya membawa kepada kematian Perry.
Pendakwa raya mendakwa, pembantu Perry, Kenneth Iwamasa bersekongkol dengan dua doktor untuk membekalkan pelakon itu ketamin bernilai lebih AS$50,000 (RM222,000) dalam beberapa minggu sebelum kematiannya.
Pegawai berhujah mereka yang terlibat dalam skim itu cuba mengaut keuntungan daripada isu penyalahgunaan bahan terkenal Perry.
Salah seorang doktor, Salvador Plasencia, didakwa telah menulis dalam mesej teks: "Saya tertanya-tanya berapa banyak yang akan dibayar oleh si dungu ini?"
Plasencia, 42, membekalkan Perry ketamin "di luar amalan profesional biasa dan tanpa tujuan perubatan yang sah", menurut dakwaan.
Dia juga didakwa mengajar Iwamasa cara menyuntik Perry dengan ketamin tanpa prosedur keselamatan dan pengawasan yang betul, kata polis lagi dalam laporan penyiasatan.
Dalam empat hari sebelum kematiannya, Iwamasa memberi Perry sekurang-kurangnya 27 suntikan ketamin, dakwa pendakwa raya.
Dia berbuat demikian walaupun selepas dos besar ketamin pada awal bulan itu menyebabkan Perry "membeku", menyebabkan Plasencia menasihatkan terhadap dos bersaiz serupa pada masa hadapan, kata pendakwa raya.
Doktor berkenaan turut meninggalkan beberapa botol dadah bersama pelakon dan pembantunya selepas kejadian itu, menurut dakwaan.
Suspek lain yang didakwa dalam kes itu termasuk Jasveen Sangha yang dipanggil "Ratu Ketamine" yang membekalkan dadah itu kepada Plasencia melalui bantuan dua lagi defendan iaitu Erik Flemming dan Dr Mark Chavez.
Chavez, Flemming dan Iwamasa semuanya telah mengaku bersalah.
Sangha dan Plasencia pula dihadapkan ke mahkamah Los Angeles pada petang Khamis, kata Jabatan Kehakiman AS.
Pendakwa raya berkata, defendan cuba untuk menutup jenayah yang didakwa ke atas mereka selepas kematian Perry.
Bahkan, Sangha juga telah didakwa mengirim mesej kepada suspek lain dengan memberitahunya "padam semua mesej kami".
Sementara, Plasencia pula memalsukan rekod perubatan, menurut dakwaan itu lagi.
Dalam perkembangan sama, lemas juga disenaraikan sebagai faktor penyumbang kematian Perry, yang dianggap sebagai kemalangan.
Faktor penyumbang lain ialah penyakit arteri koronari dan kesan buprenorfin yang digunakan untuk merawat gangguan penggunaan opioid.
Pada kemuncak kemasyhurannya, Perry bertarung dengan ketagihan terhadap ubat penahan sakit dan alkohol dan menghadiri pemulihan beberapa kali.
Dia merumuskan perjuangannya dengan penggunaan bahan dalam memoirnya, Friends, Lovers, and the Big Terrible Thing.
Pada 2016, mendiang memberitahu BBC Radio 2 dia langsung tidak mengingati pengalaman berlakon siri Friends selama tiga tahun penggambaran kerana tabiat pengambilan minuman keras dan dadah.
Selepas berusaha mendapatkan rawatan, Perry menulis dalam memoirnya bahawa dia kebanyakannya bebas daripada ketagihan sejak 2001 - "menyelamatkan kira-kira 60 atau 70 kejadian tidak diingini daripada berlaku." - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!