Taylor's University perkenal inovasi teknologi baharu pemeriksaan pangkal rahim

Dari kiri ke kanan: Jururawat, Thulasini Balachandran; Penyelaras Penyelidikan di Persatuan Kanser Negara Malaysia, Dr. Kavinash Loganathan; Pei Pei dan Penyokong Kesedaran Human Papillomavirus (HPV), Maggy Wang membincangkan tentang Peranan Pap Smear & Kemajuan Teknologi untuk Meningkatkan Pengambilan Saringan Serviks.
Dari kiri ke kanan: Jururawat, Thulasini Balachandran; Penyelaras Penyelidikan di Persatuan Kanser Negara Malaysia, Dr. Kavinash Loganathan; Pei Pei dan Penyokong Kesedaran Human Papillomavirus (HPV), Maggy Wang membincangkan tentang Peranan Pap Smear & Kemajuan Teknologi untuk Meningkatkan Pengambilan Saringan Serviks.
A
A
A

SUBANG - Taylor's University memperkenalkan inovasi dan teknologi baharu yang diaplikasi dalam ujian pap smear bagi memudahkan proses mengambil sampel sel pangkal rahim.

PapLite ProTM yang dihasilkan menerusi Makmal Impak Kesihatan Digital dan Kemajuan Perubatan universiti swasta itu meningkatkan keberkesanan pengambilan sel serviks dengan lebih efisien tanpa bantuan individu lain.

Pengarah makmal, Profesor Dr. Chong Pei Pei berkata, peralatan yang dilengkapi dengan pantulan cahaya dan spatula itu membolehkan pegawai perubatan mengambil sel pangkal rahim dengan lebih mudah selain memberi pengalaman kurang invasif kepada wanita.

“Direka dengan ergonomik bagi memudahkan cara pengumpulan sel serviks yang mencukupi daripada kawasan serviks yang betul.

“Ia meningkatkan pengamatan ke atas endoserviks ketika proses mengambil sel sekali gus memberi ketepatan lebih tinggi dalam pensampelan.

“PapLite ProTM menghilangkan bayangan yang disebabkan oleh tangan pegawai kesihatan di kawasan serviks, menghasilkan keputusan ujian diagnostik lebih tepat berbanding penggunaan alat pap smear konvensional,” katanya.

Pei Pei menerangkan perbezaan antara ujian pap smear konvensional dan PapLite Pro™ di Makmal Taylor's Virtual Online Future Technology & Extended Reality (VORTEX XR).
Pei Pei menerangkan perbezaan antara ujian pap smear konvensional dan PapLite Pro™ di Makmal Taylor's Virtual Online Future Technology & Extended Reality (VORTEX XR).



Beliau berkata demikian dalam forum yang menampilkan panel pakar terkemuka berkongsi pandangan mengenai landskap semasa bagi saringan kanser serviks dan perkenalan PapLite ProTM pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau menjelaskan, pentingnya pengesanan awal dalam meningkatkan kualiti hidup dengan penggunaan PapLite ProTM yang mampu menjadi pembolehubah kepada kaedah pemeriksaan pangkal rahim konvensional selain menawarkan teknologi visual dipertingkatkan.

Pei Pei yang juga profesor di Pusat Pengajian Biosains, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan Taylor’s University berkata, pada masa ini alatan tersebut sedang dalam proses pendaftaran harta intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dijangka dapat dikomersialkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Peralatan ini juga masih menjalani ujian keberkesanan dan kami telah jalankan ujian kepada lebih 50 wanita menggunakan PapLite ProTM setakat ini. Kami perlu menjalankan ujian kepada 350 wanita lagi sebelum ia dapat dikomersialkan,” ujarnya.

Pei Pei berkata, penyelidikan berkaitan inovasi tersebut telah bermula pada tahun 2020 dengan kos keseluruhan berjumlah RM85,000.

Daripada jumlah itu, beliau memaklumkan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyalurkan dana sebanyak RM75,000 manakala selebihnya pembiayaan daripada geran IGNITE 10 dalaman dari Taylor's University.

PapLite ProTM merupakan hasil penyelidikan antara Makmal Impak Kesihatan Digital dan Kemajuan Perubatan, Pusat Pengajian Kejuruteraan, Pusat Pengajian Biosains dan Pusat Pengajian Perubatan serta sokongan.

Untuk maklumat lanjut mengenai PapLite ProTM dan mengetahui lebih lanjut mengenai Makmal Impak Taylor’s, sila melayari laman web Taylor's Impact Labs.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!