LTSM Terengganu adakan penerangan pencegahan koronavirus
KUALA NERUS - Prihatin tentang bahayanya jangkitan koronavirus ketika ini, pengurusan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus mengadakan sesi penerangan kepada lebih 200 individu yang bertugas di lapangan terbang itu.
Pengurus LTSM, Che Sulaiman Che Pa berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran agar petugas lapangan terbang itu terutama mereka di bahagian depan lebih berhati-hati dengan aspek kebersihan bagi mencegah jangkitan koronavirus.
"Sesi penerangan ini melibatkan petugas Malaysia Airports, syarikat penerbangan, agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), penyewa kedai dan pekerja kontrak kebersihan.
"Walaupun LTSM tidak mempunyai penerbangan antarabangsa, sesi penerangan ini membuktikan komitmen tinggi kami dalam menjaga keselamatan pekerja di LTSM serta orang ramai yang berurusan di lapangan terbang ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja pembersihan giat dilakukan di sekitar LTSM terutama tempat yang berpotensi tinggi berlakunya penyebaran kuman seperti pemegang tangan eskalator, suis di lif, troli beg dan tombol pintu sebanyak dua kali sehari.
Che Sulaiman berkata, kerja pembersihan juga akan ditingkatkan berdasarkan keperluan semasa.
"Pengurusan LTSM juga sentiasa mengingatkan orang ramai agar sentiasa memakai penutup mulut dan hidung. Melalui langkah pencegahan yang diambil, kita berharap orang ramai tidak akan panik dan takut sekiranya mempunyai urusan di LTSM," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!