Hanya separuh pekerja Malaysia aktif mencarum KWSP

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin (kanan) dan Haizir Othman yang mengacarakan Program Interviu yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin (kanan) dan Haizir Othman yang mengacarakan Program Interviu yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya separuh atau 8.6 juta pekerja Malaysia dari lebih 17 juta pekerja aktif mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, jurang yang besar itu menjadi cabaran utama bagi mereka kerana kesedaran mengenai kepentingan dana persaraan masih kurang dan semua pekerja tidak formal tidak diwajibkan untuk mencarum.

Menurutnya, buat masa ini, KWSP adalah antara tabung simpanan persaraan yang tertua dan terbesar di dunia dengan sekitar 16 juta ahli. Ia mempunyai 8.6 juta ahli aktif yang mencarum sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan ke belakang.

“Kerisauan kita adalah bukan sekarang tapi 20 tahun lagi apabila sudah berumur 50 tahun, 55 tahun. Jika tidak menyimpan daripada sekarang, apa yang akan menampung perbelanjaan mereka bila bersara nanti.

“Saya melihat antara salah faham yang sering timbul adalah anggapan bahawa KWSP untuk pekerja sahaja, sedangkan ia untuk semua rakyat Malaysia. Tidak kira jika mereka bekerja secara formal atau bekerja sendiri.

“Apa yang bezanya, bagi mereka yang mempunyai majikan dan bekerja di sektor formal, caruman KWSP adalah wajib atau mandatori bagi kedua-dua pihak majikan dan pekerja. Bagi yang bekerja sendiri seperti pekerja gig, nelayan, petani, penjual nasi lemak, mereka tidak wajib mencarum tetapi sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk KWSP Untuk Semua: Celik Kewangan, Masa Depan Terjamin dihoskan Haizir Othman yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

SAZALIZA
SAZALIZA



Jelas Sazaliza, cabaran lebih besar apabila melihat trend beberapa tahun kebelakangan ini apabila berlakunya perubahan sektor pekerjaan daripada formal kepada tidak formal yang agak ketara terutamanya selepas Covid-19.

Disebabkan itu, KWSP menggerakkan secara aktif inisiatif i-Saraan bagi menggalakkan lebih ramai mereka yang bekerja di sektor tidak formal untuk mencarum

“Jika mereka menambah dan mencarum di KWSP, akan ada insentif tambahan daripada kerajaan. Pada tahun 2024, kerajaan akan memberikan insentif tambahan sebanyak 15 peratus sehingga maksimum RM500 untuk setahun.

“Kalau kita tengok 2023 sahaja, lebih 300,000 ahli telah mendapat manfaat daripada insentif tersebut dan lebih RM50 juta insentif kerajaan telah dikreditkan ke akaun mereka. Ini bagi menggalakkan mereka untuk terus mencarum dengan KWSP sebagai persediaan untuk masa depan,” jelasnya.

Katanya, KWSP melakukan usaha berterusan untuk meningkatkan jumlah ahli dan hasilnya, caruman sukarela meningkat sebanyak 39 peratus untuk enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada separuh tahun pertama 2024, jumlah ahli yang mencarum secara sukarela telah meningkat ke 742,556 orang daripada 535,307 orang pada tempoh yang sama tahun lepas, dengan jumlah kutipan sekitar RM7.5 bilion berbanding enam bulan pertama 2023, RM3.9 bilion.

Mobile KWSP capai golongan sasar luar bandar

Bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan KWSP, beliau menggalakkan mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya aplikasi KWSP i-Akaun dan berkunjung ke 69 cawangan KWSP di seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, memahami keadaan geografi yang mana ada kediaman yang terletak jauh dengan cawangannya, KWSP juga mempunyai perkhidmatan kaunter bergerak yang dikenali sebagai Mobile KWSP bermula pada tahun 2023.

Sehingga kini katanya, terdapat 10 trak Mobile KWSP, yang mana empat daripadanya ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan masingmasing tiga trak untuk Sabah dan Sarawak.

“Trak ini akan berada di lokasi tertentu untuk mendekati rakyat. Contohnya setiap Isnin kita berada di Baling, Kedah manakala Rabu di Kota Kuala Muda, Kedah. “Di Pahang, setiap hari Khamis kita akan berada di bandar Muadzam Shah. Begitu juga di Sabah, Sarawak dan sebagainya.

“Pada tahun 2023 sahaja, lebih 2,000 program ‘outreach’ telah kami laksanakan bagi memudahkan ahli dan seluruh rakyat Malaysia untuk berinteraksi dengan KWSP. Antara skop perkhidmatan Mobile KWSP ini ialah khidmat nasihat bagi mereka yang belum menjadi ahli.

“Bagi ahli KWSP pula, mereka boleh membuat transaksi sama ada nak buat penamaan, daftar simpanan syariah, tambah caruman dan seumpamanya,” ujar beliau.

Akaun Fleksibel untuk kecemasan, terdesak sahaja.

Tambah Sazaliza, keputusan KWSP untuk menstrukturkan semula akaun KWSP daripada dua akaun kepada tiga, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel, adalah untuk membantu ahli mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Jelasnya, Akaun Persaraan hanya boleh digunakan apabila ahli berumur 55 tahun manakala Akaun Sejahtera boleh digunakan untuk perkara lain seperti membeli rumah, pendidikan dan kesihatan.

"Buat masa sekarang, semua duit di Akaun Fleksibel masih mendapat dividen. Nasihat kami kalau tak terdesak dan bukan kecemasan, biarkan sahaja di KWSP. - Sazaliza

“Melalui langkah penstrukturan semula, caruman bagi Akaun Persaraan kita tingkatkan daripada 70 peratus kepada 75 peratus manakala Akaun Sejahtera sebanyak 15 peratus dan Akaun Fleksibel dengan caruman 10 peratus.

“Bagi sesetengah daripada kita yang sudah lama bekerja, mungkin tidak nampak impak sangat tapi sebenarnya ia beri kesan kepada generasi muda. Perbezaan lima peratus untuk 30 tahun apabila bersara nanti, akan meningkatkan simpanan mereka sebanyak tujuh peratus berbanding kalau kita tak buat apa-apa.

“Buat masa sekarang, semua duit di Akaun Fleksibel masih mendapat dividen. Nasihat kami kalau tak terdesak dan bukan kecemasan, biarkan sahaja di KWSP. Tidak perlu gunakan sebab selagi mana disimpan, ia akan terus berkembang untuk kemudahan mereka di masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya tentang penamaan KWSP, beliau menjelaskan, hanya 32 peratus daripada 16 juta ahli KWSP yang berbuat demikian.

Sedangkan penamaan amat penting kerana ia akan memudahkan proses pengeluaran jika berlaku perkara luar jangka seperti kematian kepada ahli.

Katanya, bagi yang bukan beragama Islam, penama adalah pewaris manakala ahli yang beragama Islam, penama adalah pentadbir bagi harta tersebut. “Kalau sayang ahli keluarga, daftar dan kemas kini penamaan KWSP untuk memudahkan urusan mereka apabila kita tiada nanti,” jelasnya.

Menurut Sazaliza, KWSP mempunyai penasihat kewangan yang bertauliah di hampir kesemua cawangannya bagi ahli mendapatkan nasihat persaraan. Untuk membuat penamaan KWSP, muat turun dan daftar melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memudahkan waris mengurus simpanan kita pada masa akan datang.

Ringkasan berita:

  • Jumlah Pekerja Aktif KWSP: Hanya 8.6 juta daripada lebih 17 juta pekerja di Malaysia yang aktif mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
  • Cabaran Kesedaran: Kesedaran tentang kepentingan dana persaraan masih rendah, terutama di kalangan pekerja sektor tidak formal.
  • Inisiatif i-Saraan: KWSP menggerakkan inisiatif i-Saraan untuk menggalakkan pekerja sektor tidak formal mencarum, dengan insentif tambahan 15% dari kerajaan hingga RM500 setahun.
  • Peningkatan Caruman Sukarela: Caruman sukarela meningkat 39% pada enam bulan pertama 2024, dengan jumlah ahli meningkat menjadi 742,556 dan kutipan mencapai RM7.5 bilion.
  • Perkhidmatan Mobile KWSP: KWSP menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak melalui 10 trak untuk memudahkan akses di kawasan luar bandar.
  • Penstrukturan Semula Akaun: KWSP menambah jumlah akaun menjadi tiga—Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel—untuk mengimbangi keperluan jangka pendek, sederhana, dan panjang.
  • Nasihat Penggunaan Akaun Fleksibel: KWSP menyarankan agar Akaun Fleksibel hanya digunakan dalam keadaan darurat.
  • Penamaan KWSP: Hanya 32% daripada ahli KWSP yang sudah membuat penamaan, padahal penamaan penting untuk memudahkan proses pengeluaran jika terjadi kematian.
  • Nasihat Kewangan: KWSP menyediakan penasihat kewangan bertauliah di hampir semua cawangan untuk memberi nasihat persaraan kepada ahli.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!