Ringgit dibuka rendah

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati dan menyesuaikan kedudukan mereka susulan jangkaan ketidaktentuan sebelum pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 pada Jumaat. Gambar hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati dan menyesuaikan kedudukan mereka susulan jangkaan ketidaktentuan sebelum pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 pada Jumaat. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati dan menyesuaikan kedudukan mereka susulan jangkaan ketidaktentuan sebelum pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 pada Jumaat.

Pada 8.02 pagi, ringgit susut kepada 4.4515/4720 berbanding dolar AS daripada 4.4350/4405 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, anggaran konsensus ialah pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka mencapai 5.8 peratus.

"Sekiranya angka tersebut mengejutkan dengan mencatatkan lebih baik, ia mungkin meningkatkan nilai ringgit. Jika tidak, peniaga mungkin cenderung untuk mengambil pendekatan berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya, ringgit boleh berada antara RM4.43 dan RM4.45 berbanding dolar AS pada Jumaat.

Di Amerika Syarikat (AS), Mohd Afzanizam berkata, terdapat sentimen untuk mengambil risiko dengan data AS yang lebih baik daripada jangkaan semalam.

"Jualan runcit AS meningkat 1.0 peratus bulan ke bulan pada Julai berbanding anggaran konsensus merosot 0.2 peratus manakala tuntutan pengangguran awal turun kepada 227,000 daripada 234,000 minggu lepas.

"Walaupun pandangan mengenai penurunan kadar faedah masih relevan, terdapat spekulasi yang meningkat bahawa penurunan 25 mata asas akan memadai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada September, dengan satu lagi penurunan 25 mata asas pada Disember, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 mata asas pada tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mohd Afzanizam berkata, hasil perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun melonjak 13 mata asas kepada 4.09 peratus manakala Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.40 peratus kepada 102.977 mata.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.7246/7510 daripada 5.7007/7078 dan rendah berbanding euro kepada 4.8851/9076 daripada 4.8838/8899 semalam.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9844/9983 daripada 3.0092/0132.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3667/3825 daripada 3.3657/3699, rendah berbanding peso Filipina kepada 7.82/7.86 daripada 7.79/7.80 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 283.5/284.9 daripada 282.5/282.9 semalam.

Bagaimanapun, ia tidak berubah berbanding baht Thailand pada 12.6805/7502.

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Dalam perkembangan berasingan, Bursa Malaysia dibuka tinggi, disokong oleh minat belian yang menyeluruh dengan kenaikan semalaman di Wall Street, kata penganalisis.

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.37 mata kepada 1,623.31 daripada 1,612.94 pada Khamis.

Indeks memulakan hari ini dengan naik 9.26 mata kepada 1,622.20.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 303 berbanding 55, dengan 180 kaunter tidak berubah, 1,948 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 94.99 juta unit bernilai RM54.23 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, corak dagangan hari ini dijangka kekal sama seperti semalam berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Beliau berkata, indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan dalam julat 1,610 hingga 1,620 mata.

Pada Khamis, FBM KLCI ditutup mendatar walaupun terdapat sokongan belian yang berterusan daripada dana asing berikutan sentimen bursa tempatan secara keseluruhan kekal tidak memberangsangkan.

Sementara itu, Wall Street melonjak berikutan peniaga optimis mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS) susulan data runcit pada Julai yang lebih baik daripada jangkaan dan penurunan tuntutan pengangguran pada minggu ini.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) ditutup rendah semalam walaupun sesi pembukaan kukuh berikutan sentimen menjadi berhati-hati susulan data ekonomi yang bercampur-campur dari China.

Dalam dagangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat 9.0 sen kepada RM7.62, Tenaga dan Telekom, masing-masing menambah 10.0 sen kepada RM13.94 dan RM6.99, YTL Power International naik 6.0 sen kepada RM4.46 dan YTL Corporation menokok 4.0 sen kepada RM3.50.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Hextar Healthcare naik 1.0 sen kepada 25 sen, Pestech merosot 2.0 sen kepada 15 sen, Jiankun International tidak berubah pada 6.0 sen dan Cape EMS meningkat 1.0 sen kepada 44 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 77.83 mata kepada 12,317.65, Indeks FBMT 100 meningkat 74.92 mata kepada 11,962.60 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 95.07 mata kepada 12,406.79.

Indeks FBM 70 melonjak 105.78 mata kepada 17,789.63 dan Indeks FBM ACE naik 46.03 mata kepada 5,358.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 61.76 mata kepada 18,349.82, Indeks Perladangan meningkat 38.26 mata kepada 7,180.65, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.24 mata kepada 181.86 dan Indeks Tenaga menokok 12.58 mata kepada 941.10. - Bernama

Ringkasan berita:

  • Ringgit Dibuka Rendah:
    • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada 4.4515/4720.
    • Peniaga berhati-hati menjelang pengumuman data KDNK Malaysia suku kedua 2024.
    • KDNK Malaysia dijangka tumbuh 5.8%. Pertumbuhan lebih baik mungkin menguatkan ringgit.
  • Data Ekonomi AS:
    • Jualan runcit AS meningkat 1.0% bulan ke bulan pada Julai.
    • Tuntutan pengangguran awal di AS turun kepada 227,000.
    • Hasil perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun naik 13 mata asas kepada 4.09%.
  • Ringgit Berbanding Mata Wang Lain:
    • Ringgit rendah berbanding pound, euro, dan mata wang ASEAN seperti dolar Singapura, peso Filipina, dan rupiah Indonesia.
    • Ringgit meningkat berbanding yen Jepun.
  • Bursa Malaysia Dibuka Tinggi:
    • FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 10.37 mata kepada 1,623.31.
    • Jumlah dagangan mencatatkan 94.99 juta unit bernilai RM54.23 juta.
    • Saham utama seperti CIMB, Tenaga, dan Telekom mencatatkan peningkatan.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!