Hasilkan Jalur Gemilang guna lebih 1,500 botol terpakai

Guru-Guru Sk Gong Badang mengabadikan gambar kenangan di hadapan Jalur Gemilang yang dihasilkan.
Guru-Guru Sk Gong Badang mengabadikan gambar kenangan di hadapan Jalur Gemilang yang dihasilkan.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Dalam usaha menyemarakkan sambutan kemerdekaan, lebih 1,500 botol terbuang dikumpul murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak dekat sini bagi menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi.

Guru yang juga ketua projek, Mohamad Azrani Daud, 41, berkata, beliau mengumpulkan botol terpakai yang disumbangkan murid untuk menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz 3.2 meter panjang dan 1.8 meter lebar itu.

Mohamad Azrani bergambar di hadapan bendera yang dihasilkannya
Mohamad Azrani bergambar di hadapan bendera yang dihasilkannya

"Idea menghasilkan Jalur Gemilang ini tercetus apabila saya lihat banyak botol air yang dibuang dalam tong sampah.

"Jadi saya terfikir untuk manfaatkan botol minuman itu untuk hasilkan sesuatu lain daripada lain iaitu disusun mengikut bendera Malaysia sekali gus menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.

"Pada 4 Ogos lepas, saya buat pengumuman kepada semua murid di sekolah ini supaya sumbangkan botol minuman terpakai setiap seorang. Dua hari kemudian, kami mula menghasilkan Jalur Gemilang dengan membersihkan botol daripada pelekat jenama sebelum ia dipotong mengikut saiz dan diwarnakan mengikut bendera Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di SK Gong Badak di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Lebih 1,500 botol terbuang dikumpul murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak dekat sini bagi menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi.
Lebih 1,500 botol terbuang dikumpul murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak dekat sini bagi menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi.

Mengulas lanjut, Mohamad Azrani berkata, beliau mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan Jalur Gemilang itu bermula dari proses pengumpulan sehingga proses penghasilan bendera berkenaan.

"Memang rumit apabila kita nak kumpul botol terpakai berkenaan sebab ia melibatkan jumlah yang banyak serta komitmen daripada murid untuk sumbang botol tersebut.

"Kita bimbang juga kalau jumlah botol diterima sedikit menyebabkan proses nak hasilkan bendera menggunakan botol itu sedikit tergendala. Alhamdulillah, kita berjaya mengumpulkan lebih 1,500 botol terpakai untuk hasilkan bendera itu," ujarnya.

Katanya, proses menghasilkan bendera itu dijalankan oleh murid di bawah bimbingannya bermula dengan mengumpul, menyusun, menampal dan mengecat botol terpakai tersebut.

Lebih 1,500 botol terpakai diguna hasilkan Jalur Gemilang
Lebih 1,500 botol terpakai diguna hasilkan Jalur Gemilang

"Saya bimbing murid-murid ini untuk hasilkan bendera menggunakan barang yang boleh dikitar semula. Sebenarnya saya mahu ajar mereka supaya memanfaatkan barang yang boleh dikitar semula supaya tidak membuang sampah merata-rata sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Merdeka bagi saya bukan sahaja memupuk rasa kasih sayang dan cintakan negara tetapi kita perlu merdeka dari segi sikap suka membuang sampah yang banyak secara merata-rata.

"Kita mahu didik anak-anak murid ini bermula sekarang dan dedahkan mereka tentang usaha sebegini untuk hasilkan sesuatu barangan atau perhiasan," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Azrani berkata, bendera yang dihasilkan menggunakan botol terpakai itu akan diletakkan di depan pagar sekolah bagi membolehkan orang ramai melihat hasil karya yang dihasilkan oleh murid-murid di sekolah berkenaan.

"Kita juga siap letakkan lampu di sekeliling bendera itu supaya ia bercahaya pada waktu malam.

"Bendera ini akan diletakkan di depan pagar sekolah sepanjang bulan Merdeka bermula 15 Ogos sehingga sambutan Hari Malaysia nanti," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Gong Badak, Abd Rahim Abd Rahman memuji usaha dilakukan oleh guru dan murid-murid di sekolah tersebut yang menghasilkan hasil kerja yang kreatif serta lain daripada lain bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ini.

"Ia merupakan satu inisiatif begitu baik dan mungkin boleh menjadi penanda aras kepada murid bahawa sesuatu yang dibuang itu seperti botol minuman terpakai ada kegunaan untuk dikitar semula.

"Terima kasih kepada cikgu Mohamad Azrani yang menjayakan sambutan kemerdekaan kali ini dengan penghasilan bendera diperbuat daripada botol terpakai. Saya harapkan guru-guru di sekolah ini dapat membawa murid ke dunia lebih luas dengan mencipta sesuatu baharu khususnya melibatkan barangan terbuang selain berfikiran luar dari kotak," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!