Tolak isteri dalam gaung: Lelaki tidak mengaku ugut, cubaan bunuh

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat bagi dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan cubaan membunuh isterinya, Julai lalu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat bagi dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan cubaan membunuh isterinya, Julai lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang ditahan selepas memukul dan menolak isteri ke dalam gaung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan cubaan membunuh wanita itu, Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Azzuan Ahmad, 39, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa lima anak itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap Nor Diyanah Ahmad, 32, dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vios semasa melalui Lebuhraya Utara Selatan menuju arah Kuala Kangsar pada malam 26 Julai 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Azzuan didakwa cuba membunuh wanita sama yang merupakan isterinya sehingga mangsa mengalami kecederaan di tepi jalan berdekatan Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dalam daerah Gerik jam lebih kurang 4 hingga 5 pagi pada 27 Julai 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa kes itu masih isteri dalam perkahwinan yang sah.

Bagaimanapun katanya, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi kes pertama dan RM20,000 pertuduhan kedua selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi memohon jaminan paling rendah bagi kedua-dua kes memandangkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung lima anak yang masih kecil dan bersekolah.

Katanya, tertuduh juga sanggup tinggal berasingan selama tempoh kes berjalan dengan menetap di kediaman ibunya di Baling, Kedah jauh dari rumah perkahwinan pasangan itu di Machang, Kelantan.

Hakim Rohaida kemudiannya memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi, 27 Julai lalu, seorang wanita berusia 32 tahun nyaris maut di tangan suami sendiri akibat dipukul, dicekik dan ditolak ke dalam gaung selepas berlaku pertengkaran mulut.

Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam sekitar jam 2 petang pada hari sama.

Tangkapan ke atas suspek telah dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah pada 31 Julai lalu selepas terdapat kes melibatkan lelaki itu bersabit mencederakan abang kandung di kawasan pentadbiran polis berkenaan.

Tangkapan semula dibuat polis Gerik dan suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos lalu bagi siasatan lanjut.

Ringkasan berita:

  • Tuduhan Ugutan dan Cubaan Membunuh: Mohd Azzuan Ahmad, 39, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas dua pertuduhan—ugutan jenayah dan cubaan membunuh isterinya, Nor Diyanah Ahmad, pada Julai 2024.
  • Pertuduhan Pertama: Tertuduh didakwa menakutkan isterinya dengan ugutan hendak menyebabkan kematian semasa berada di dalam kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan, menuju ke Kuala Kangsar pada malam 26 Julai 2024. Kes ini didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
  • Pertuduhan Kedua: Tertuduh juga didakwa cuba membunuh isterinya di tepi jalan berdekatan Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada pagi 27 Julai 2024, yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
  • Hukuman dan Jaminan: Jika sabit kesalahan, tertuduh menghadapi hukuman penjara hingga 20 tahun. Tiada jaminan diberikan oleh mahkamah, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 September 2024.
  • Kejadian Serangan: Pada pagi 27 Julai, mangsa dipukul, dicekik, dan ditolak ke dalam gaung selepas pertengkaran dengan suaminya. Mangsa berjaya merangkak naik dari gaung dan ditemukan oleh orang awam pada petang hari yang sama.
  • Tangkapan Suspek: Suspek ditahan oleh polis di Baling, Kedah pada 31 Julai selepas terlibat dalam kes lain, dan kemudian diserahkan kepada polis Gerik untuk siasatan lanjut.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!