Pekerja cuci kereta maut diserang lima lelaki bersenjatakan parang

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja cuci kereta maut dan seorang pengawal keselamatan parah dalam kejadian di Bedong awal pagi Khamis dipercayai diserang lima lelaki bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku di dua lokasi berasingan di mana kejadian awal berlaku di sebuah tapak kosong simpang masuk ke Kampung Sungai Toh Pawang.

Menurutnya, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan yang ditemani seorang rakan, telah diserang oleh suspek terdiri daripada lima lelaki menaiki motosikal bersenjatakan parang.

"Mangsa yang sedang bekerja mengalami kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan sementara rakannya sempat melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, seterusnya, kesemua suspek telah menuju ke lorong belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak 2.7 kilometer dari lokasi kejadian pertama.

Kesemua suspek kemudian telah menyerang mangsa kedua yang merupakan pekerja cuci kereta menyebabkannya parah di pelbagai anggota badan.

Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Unit K9.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, anggota dari pondok polis HSAH menerima maklumat daripada pegawai perubatan jabatan kecemasan bahagian zon merah hospital memaklumkan menerima dua lelaki dengan kesan tetak di kepala dan badan pada jam lebih kurang 2.20 pagi, Khamis.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah yang disiasat secara berasingan.

Jika sabit kesalahan bagi kes membunuh boleh membawa hukuman mati manakala jika disabitkan kesalahan kes menyebabkan cedera parah boleh dihukum penjara sampai 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.

Pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4299222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Azmirul Abdul Aziz di talian 019-444 6521.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!