Pendidikan tingkatkan kesedaran masyarakat berkaitan halal

MAHASISWA Fakulti Pengurusan dan Industri Halal Kolej UNITI menyembelih haiwan sebagai salah satu praktikal di luar kelas.
MAHASISWA Fakulti Pengurusan dan Industri Halal Kolej UNITI menyembelih haiwan sebagai salah satu praktikal di luar kelas.
A
A
A

TAHAP kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap pemakanan dan penggunaan barangan harian halal menjadi faktor Kolej UNITI mengambil langkah berani untuk menawarkan pengajian berkaitan pengurusan halal sejak 11 tahun yang lalu.

Ketua Eksekutif Kolej UNITI, Amir Hamzah Md Isa menjelaskan, Fakulti Pengurusan dan Industri Halal yang bermula pada 2013 di kolej itu diwujudkan berikutan ketiadaan institut pengajian tinggi yang mewarkan program tersebut.

“Apabila Kolej UNITI sebagai institusi pengajian tinggi yang pertama menawarkan program sebegini, ia bukanlah suatu yang mudah.

AMIR HAMZAH
AMIR HAMZAH

“Pada permulaannya, kita menerima lebih 100 pelajar dalam pengambilan pertama dalam bidang ini.

“Bagaimanapun, faktor momentum kerajaan pada ketika itu yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab halal serantau, menyebabkan kita mengambil langkah untuk melahirkan graduan dalam bidang ini,” katanya.

Tambahnya, pada tahun kedua, permintaan meningkat dengan mendadak sehingga lebih 400 pelajar yang meneruskan pengajian dalam bidang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, seiring dengan perkembangan industri halal yang semakin meluas, kini lebih banyak institut pengajian tinggi termasuk awam dan swasta yang menawarkan pengajian dalam bidang halal dan ia merupakan perkara yang baik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Kini kita menerima sehingga 70 hingga 80 pelajar dalam setiap pengambilan bagi program yang ditawarkan iaitu Diploma Pengurusan Halal dan Diploma Perkilangan Produk Halal,” jelasnya.

Menurut Amir Hamzah, Kolej UNITI turut mengorak langkah ke hadapan dalam pendidikan halal apabila dilantik sebagai Penyedia Latihan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2018.

“Kini kita bukan sahaja menawarkan pengajian dalam bidang pengurusan halal, bahkan kita juga menawarkan latihan berkaitan halal,” jelasnya.

Bagi mengukuhkan jenamanya di peringkat serantau, Kolej UNITI telah menjalinkan kerjasama formal dalam pendidikan dan latihan berkaitan halal dengan universiti ternama di Indonesia, IPB University, Bogor selain Universiti Tanjungpura dan Universiti Muhammadiyah Pontianak di Kalimantan Barat.

"Kita juga mempunyai kerjasama erat bersama pihak autoriti halal utama di Indonesia iaitu Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal dan juga Majlis Ulama Indonesia," katanya.

Peluang pekerjaan luas dalam industri

Katanya, graduan daripada kedua-dua program diploma yang kini melebihi 2,000 orang itu sejak diperkenalkan itu kebanyakannya kini bekerja di dalam industri halal.

ASPEK suci atau tayyib turut ditekankan dalam penyediaan makanan.
ASPEK suci atau tayyib turut ditekankan dalam penyediaan makanan.

“Selepas tamat belajar di Kolej UNITI ini, ramai graduan kita terus memasuki industri disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran.

“Kebiasaannya mereka menjawat jawatan sebagai eksekutif halal di syarikat swasta atau restoran yang memerlukan pemegang program diploma dalam pengurusan halal atau setara dengannya sebagai syarat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dari JAKIM.

“Ada juga yang bekerja sebagai pegawai jaminan kualiti, auditor dan sebagainya. Ada yang berkhidmat di sektor awam yang berkaitan halal selain menjadi usahawan yang mengeluarkan produk sendiri selain menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.

Hurainya lagi, pihaknya berharap Kolej UNITI dapat meneruskan usaha mereka dalam menyediakan graduan dalam bidang halal memandangkan permintaan meningkat dan perkembangan industri halal yang semakin meluas.

“Industri halal ini bukan sahaja melibatkan negara majoriti umat Islam, bahkan negara lain seperti Jepun, Korea, Eropah dan banyak lagi sangat berminat dengan industri halal ini.

“Lihat sahaja pelaburan dalam industri halal di dalam negara, ia semakin meningkat setiap tahun,” jelasnya.

Kesedaran masyarakat masih perlu dipertingkatkan

Bagaimanapun menurut Amir Hamzah, kesedaran berkaitan halal ini masih boleh dipertingkatkan dan disebarluaskan lagi dalam masyarakat menerusi pelbagai program yang diaturkan.

“Pelajar-pelajar kita bukan sahaja belajar teori di dalam kelas, malah mereka akan turun ke lapangan bersama masyarakat menerangkan kefahaman dan kesedaran berkaitan halal.

“Antara yang menjadi acara tahunan pelajar Kolej UNITI ialah menganjurkan Hari Terbuka Halal selain program khidmat sosial bersama masyarakat dalam mempromosikan halal,” katanya.

Katanya, usaha lain yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran adalah memasukkan sukatan pelajaran berkaitan halal dalam pendidikan awal kanak-kanak.

KESEDARAN mengenai halal perlu dididik bermula dalam ahli keluarga sendiri terutama anak-anak kecil. Foto CANVA
KESEDARAN mengenai halal perlu dididik bermula dalam ahli keluarga sendiri terutama anak-anak kecil. Foto CANVA

“Ini membolehkan mereka mendapat pengetahuan dan pemahaman dalam perkara-perkara berkaitan halal sejak dari kecil.

“Satu lagi usaha yang boleh dilaksanakan terutamanya dalam era digital sekarang ini, banyakkan kandungan berkaitan kesedaran halal di media sosial dengan melibatkan pempengaruh,” cadangnya.

Di samping itu katanya, kesedaran berkaitan produk halal juga boleh dipertingkatkan dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) agar mereka turut memohon SPHM sebagai satu tambah nilai kepada produk mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!