Tinjauan dapati sebahagian besar pengundi sokong ‘bulan’ - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

GUA MUSANG – Tinjauan yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) mendapati hampir sebahagian besar pengundi akan menyokong parti berkenaan yang menggunakan logo ‘bulan’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, disebabkan itu PN yakin calon mereka, Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding mampu mempertahankan kerusi berkenaan seterusnya menjadi wakil rakyat DUN Nenggiri.

“Kita ada buat tinjauan secara saintifik menjangkau hampir 500 pengundi terpilih dan daripada tinjauan serta pertanyaan yang telah kita kemukakan hampir sebahagian besar mereka menyatakan akan menyokong bulan.

“Mereka telah menyatakan secara terbuka sebab-musabab kenapa mereka membuat keputusan yang penting itu. Antara sebabnya ialah mengambil kira apa yang telah berlaku dalam tempoh hampir dua tahun kebelakangan ini.

Ribuan penyokong PN hadir pada Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Jerek, Gua Musang pada Khamis malam.
Ribuan penyokong PN hadir pada Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Jerek, Gua Musang pada Khamis malam.

“Sebahagian mereka berpendapat bahawa kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini sudah gagal untuk memikul tugas, tanggungjawab dan amanah yang telah pun diberikan kepada mereka untuk menerajui negara,” dakwanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Kampung Jerek, di sini, pada Khamis malam yang dihadiri ribuan penyokong parti tersebut.

Hadir sama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, keyakinan beliau bahawa PN akan menang juga berdasarkan respons daripada banyak perhimpunan yang diadakan pihaknya sebelum ini termasuk Ceramah Mega Grand Finale itu sendiri.

Beliau turut meminta semua pengundi DUN Nenggiri supaya terus memberi sokongan dan mandat kepada calon PN sebagai isyarat tanda protes kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No Image Caption

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud terdahulu ketika berucap pada ceramah itu memberi jaminan akan memastikan kesemua 37 tawaran yang dikemukakan calon PN akan tunaikan sekiranya tersebut menang.

Menurutnya, semua masalah dihadapi rakyat termasuk berkaitan tanah akan diusahakan untuk diselesaikan.

“Sepanjang Pas mentadbir Kelantan, kami sudah meluluskan hak milik tanah kepada rakyat seluas lebih 200,000 hektar dan (mereka) sudah diberikan geran.

“Untuk Gua Musang sahaja, kita meluluskan lebih 72,000 hektar untuk individu, bukannya syarikat. Malah kita memberikan kepada semua tanpa mengira parti,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri juga sudah mewartakan lebih 3,000 hektar tanah membabitkan 10 penempatan Orang Asli selain akan berunding untuk pewartaan beberapa kawasan lagi.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!