Tujuh fokus utama bantu masyarakat Orang Asli Selangor
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meneruskan misi membantu masyarakat Orang Asli di negeri Selangor dalam meningkatkan taraf hidup meliputi tujuh fokus utama.
Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti, V Papparaidu berkata, ia melibatkan tanah, pendidikan, infrastruktur, ekonomi, kepimpinan, kebudayaan dan kesihatan.
Ujarnya, beberapa program dilaksanakan pada tahun lalu bagi mencapai misi tersebut iaitu program menaik taraf infrastruktur kampung Orang Asli dan lima projek telah dijalankan antaranya baik pulih dewan, baik pulih jalan dan program menerangi 13 buah rumah di Kampung Orang Asli Sungai Relang, Gombak.
Selain itu, ujarnya, sebanyak 13 buah rumah baharu telah dibina di seluruh Selangor dan diserahkan kepada penerima secara berperingkat.
"Pembinaan rumah baharu bagi masyarakat Orang Asli ini melibatkan daerah Sepang (3), Hulu Langat (3), Kuala Langat (4) dan Hulu Selangor (3).
"Jawatankuasa ini juga telah meluluskan 11 permohonan bina baharu rumah Orang Asli bagi tahun 2024 dan akan dilaksanakan oleh pihak Menteri Besar Incorporate (MBI).
"Binaan rumah baharu kali ini akan diselaraskan dengan binaan rumah bantuan rumah kerajaan prihatin dengan luas 660 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik untuk keselesaan penerima," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Mini Town Hall Bersama Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti di Hotel Concorde Shah Alam di sini malam tadi.
Papparaidu mengulas lanjut berkata, bagi tahun 2024 juga, peruntukan sebanyak RM500,000 disediakan bagi program Pembangunan hal Ehwal Orang Asli sehingga 15 Ogos tahun ini.
"Jawatankuasa ini telah meluluskan tujuh program secara keseluruhan, tiga program adalah di Kampung Orang Asli Sungai Relang iaitu program gotong-royong, membaiki rumah dan baik pulih jambatan," ujarnya lagi.
Selain itu, bantuan tunai kepada pelajar Orang Asli pendidikan khas dan program Rumah Terbuka Aidilfitri KOA daerah Sepang, baik pulih jalan di KAO Sungai Buah dan terbaru program baik pulih balai raya di KOA Sungai Bumbun.
"Selain dari bantuan yang telah saya sebutkan tadi, kerajaan negeri Selangor juga menawarkan bantuan-bantuan Iltizam Selangor Penyayang," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!