Gaji kumpulan pelaksana naik 15 peratus, pengurusan tertinggi tujuh peratus

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kumpulan pelaksana dan pengurusan profesional penjawat awam menikmati kenaikan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji kumpulan pengurusan tertinggi (KPT) pula dinaikkan kepada tujuh peratus.

"Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2," katanya pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Ujar beliau, pelarasan gaji bagi pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional adalah sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2.

Bagi KPT pula adalah empat peratus pada Fasa 1 dan 3 peratus di Fasa 2.

"Seperti, penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara," jelasnya.

Anwar berkata, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, seorang guru yang telah berkhidmat selama lima tahun dengan pendapatan bulanan RM3,838 akan menerima pelarasan gaji sebanyak lapan peratus dalam Fasa 1, menjadikan pendapatan bulanannya kepada RM4,085.04.

“Dalam pelarasan gaji Fasa 2 pada Januari 2026, guru akan menerima tambahan pelarasan sebanyak tujuh peratus, menjadikan pendapatan bulanan mereka kepada RM4,559.24.

“Contoh lain adalah seorang pegawai polis gred YA1 dengan pendapatan bulanan RM2,256 akan menerima pelarasan gaji sebanyak RM240, meningkatkan pendapatan bulanan mereka kepada RM2,496.

“Dalam pelarasan gaji Fasa 2, pendapatan bulanan mereka akan menjadi RM2,726.02.

“Kaedah dan formula untuk pengiraan ini akan dijelaskan secara terperinci oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam sesi libat urus yang akan datang,” katanya.

Turut dipertimbangkan, pengorbanan dan bakti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagi Veteran ATM Tidak Berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!