[VIDEO] Dua pekerja restoran dituduh bunuh rakan sekerja

A
A
A

BALIK PULAU - Dua warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh rakan senegara di Teluk Kumbar pada 4 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Lay Zin Ton, 24, dan Myo Kyaw Hein, 20, secara bersama-sama berniat untuk membunuh Saw James di sebuah restoran di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas antara jam 11 malam, 4 Ogos hingga 3 pagi, 5 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai pekerja restoran didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dua warga Myanmar dituduh di Mahkamah Majistret di Balai Pulau atas tuduhan membunuh rakan senegara pada 5 Ogos lalu.
Dua warga Myanmar dituduh di Mahkamah Majistret di Balai Pulau atas tuduhan membunuh rakan senegara pada 5 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam mengaku faham setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh berikutan kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Artikel Berkaitan:

Menurut Lushani, kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana Mahkamah Majistret tiada kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh.

"Tiada jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kes ini adalah kes yang tidak boleh ditawarkan jaminan.

"Saya mohon kes ini ditangguhkan untuk laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya.

Huey Ting kemudiannya menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula dan menunggu laporan DNA.

Sebelum ini, media melaporkan, polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam seorang lelaki warga Myanmar kurang 12 jam selepas menahan sembilan lelaki termasuk pemilik sebuah restoran masakan ala Thai bagi membantu siasatan dalam kejadian di Bukit Genting, Balik Pulau.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena 47 tetakan dengan senjata tajam.

Pembunuhan itu terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan berhubung mangsa berusia 30 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditetak rakan sekerja pada jam 3.15 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!