PRK Nenggiri: 60 peratus dijangka mengundi, keputusan jam 9 malam - SPR
GUA MUSANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri melebihi 60 peratus.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, keputusan pula akan diperoleh sebelum jam 9 malam esok (Sabtu).
"Proses pengundian bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang di semua 20 PDM (Pusat Daerah Mengundi). Namun untuk PDM di Pos Orang Asli, tempoh mengundi mereka ada yang tamat jam 2 dan 3 petang," katanya ketika ditemui semasa proses penghantaran peti undi kepada dua Pos Orang Asli, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, jangkakan keputusan akan diperoleh sebelum jam 9 malam sekiranya semua urusan berjalan lancar dan tiada masalah berbangkit.
Dalam perkembangan sama, Ikmalrudin memberitahu, untuk PRK Nenggiri, pihaknya menyewa dua helikopter, 40 kenderaan pacuan empat roda untuk pergerakan ke kawasan perkampungan Orang Asli.
Ujarnya, lebih 400 petugas terlibat dan berharap segalanya berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.
“Saya menasihatkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi esok supaya peratusan mengundi bertambah.
“Jangan lupa bawa kad pengenalan. Jangan beri dokumen pengenalan diri kepada sesiapa,” katanya.
Menurut beliau, tempoh berkempen akan tamat jam 12 tengah malam ini dan berharap calon serta ejen parti sudah sedia maklum berhubung perkara itu.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!