Ganjaran wang tunai tangkap BEM di Sungai Rantau Panjang
SHAH ALAM - Ganjaran wang tunai diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkap ikan baung ekor merah atau BEM yang bertag di sekitar Sungai Rantau Panjang, Bestari Jaya.
Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Selangor menerusi satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan ganjaran sebanyak RM50 bagi setiap ekor ikan diberikan untuk maklumat tag dan tangkapan semula spesies ikan pemangsa tersebut.
"Maklumat dikehendaki adalah masa dan tarikh ikan BEM ditangkap, panjang serta berat ikan tersebut dan juga kawasan ikan itu ditemui, contohnya depan perangkap atau empangan," menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, selain itu, gambar ikan bersama tag dan nombor tag juga perlukan selain nama dan akaun bank individu yang berjaya menangkap ikan tersebut.
"Ikan tidak perlu diserahkan dan menjadi hak milik anda. Tarikh akhir melapor tag ialah pada 30 September 2024," tambahnya.
Sebagai rekod, BEM atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides adalah ikan pemangsa disenaraikan Jabatan Perikanan bersama 32 spesies ikan lain yang tidak dibenarkan dilepaskan ke sungai, empangan, tasik dan lombong di negara ini.
Spesies ikan berkenaan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan dikategorikan sebagai ikan pemangsa agresif yang akan mengganggu ekosistem perairan sekiranya berada dan membiak dalam perairan umum.
Bersifat agresif dengan memakan pelbagai hidupan marin termasuk anak ikan, udang dan saiznya matangnya boleh mencapai berat puluhan kilogram.
Spesies ini mampu mencapai panjang 130cm (51 inci) dan merupakan spesies Bagrid terbesar di Asia serta mampu mencapai sehingga saiz maksimum 80 kilogram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!