Kesal jadi 'orang tengah' sedia khidmat seks pelajar sekolah
KOTA KINABALU - Ingin hidup mewah dan pengaruh rakan sebaya menyebabkan seorang gadis terjebak dalam dunia pelacuran sebelum aktif dalam perdagangan melibatkan aktiviti persundalan seawal usianya 14 tahun.
Namun, Abby (bukan nama sebenar) yang kini berusia 20 tahun telah kembali ke pangkal jalan selepas ditempatkan di Sekolah Henry Gurney setelah ditahan pada tahun 2021.
Katanya, banyak dipelajarinya selama tiga tahun dia ditempatkan di sekolah tersebut bukan hanya berkaitan dengan pemulihan akhlak tetapi dari segi pendidikan apabila berpeluang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
"Jika diimbas kembali, memang saya menyesal kerana terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral seawal usia belasan tahun.
"Semuanya hanya kerana mahu 'enjoy' semata-mata dan terikut dengan rakan sebaya apabila melihat mereka ada wang sendiri dan hidup mewah.
"Tetapi selepas berada di sini, bila melihat kehidupan dulu ia tidaklah seindah disangka dan saya tekad untuk berubah. Di sini banyak perkara yang lebih baik untuk dipelajari dan saya tidak menyangka mendapat keputusan yang baik dalam SPM," katanya.
Abby berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sijil anugerah pada Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.
Mengimbas semula bagaimana dia tertangkap, Abby berkata, kegiatannya itu terbongkar apabila keluarga salah seorang rakannya membuat laporan polis.
"Kegiatan salah itu berjaya dikesan apabila pihak polis mendapat bukti menerusi satu aplikasi sosial media di telefon pintar yang saya gunakan untuk transaksi aktiviti ini.
"Sebelum ini memang saya hidup mewah kerana dalam tempoh sebulan boleh meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit tetapi akhirnya saya tertangkap dan didakwa di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan," katanya.
Ditanya mangsanya terdiri daripada siapa semasa melakukan kerja sebagai orang tengah atau 'transporter', Abby berkata, rata-rata mereka adalah pelajar sekolah yang berusia sekitar 13 hingga 17 tahun.
"Mereka yang datang kepada kami, tiada paksaan untuk melakukan kerja memberi perkhidmatan seks kepada pelanggan. Bayaran pula mengikut harga yang ditawarkan terutama bagi mereka yang masih suci, bayaran boleh mencecah sehingga RM4,000.
"Pelanggan pun ada juga dalam kalangan kakitangan awam, golongan berpangkat bergelar 'Datuk' serta dari luar negara," dedahnya.
Abby mengakui dia juga ada terlibat dalam memberi perkhidmatan seks tersebut namun, kini sudah menutup cerita hitam itu dengan berubah dan membina hidup yang lebih baik.
"Dengan keputusan SPM yang baik ini, saya merancang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih baik dan dalam masa sama menyebarkan perkara-perkara yang bermanfaat terutama melibatkan gejala sosial yang berleluasa kini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!