Pengusaha kantin rugi RM131,000 ditipu 'pegawai bank'
KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha kantin mata kerana terpaksa menanggung kerugian RM131,000 dipercayai terpedaya sindiket 'Phone Scam' yang menyamar sebagai pegawai bank.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 48 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 31 Julai lalu.
Menurutnya, suspek yang ketika itu mengaku sebagai pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dari sebuah bank memaklumkan akaun mangsa telah disalahgunakan oleh pihak lain.
"Suspek meminta mangsa untuk berhubung dengan pihak polis sebelum menyambungkan panggilan kepada individu mengaku sebagai 'polis'.
"Mangsa diminta mendedahkan maklumat diri dan isteri serta jumlah simpanan kewangan yang ada kepada pihak tersebut.
"Mangsa turut menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan dari pihak yang mengaku 'pegawai penyiasat' untuk kes tersebut," katanya di sini pada Jumaat.
Azli berkata, suspek turut meminta pengadu membuat pemindahan wang ke dalam akaun juruaudit Bank Negara untuk tujuan siasatan.
"Pengadu telah membuat enam kali transaksi pemindahan secara berperingkat ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM131,000.
"Mangsa memberitahu yakin dengan sindiket tersebut kerana diugut dengan dokumen waran tangkap yang dihantar kepadanya dan diberitahu semua asetnya akan dibekukan jika tidak memberi kerjasama," kata beliau.
Beliau berkata, mangsa menyedari diperdaya kerana wang yang dijanjikan akan dipulangkan dalam tempoh tiga hari masih belum diterima.
"Mangsa telah tampil membuat laporan polis pada Khamis dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!