PRK Nenggiri: Hadi dakwa UMNO sudah 'nyanyuk'

Abdul Hadi berucap dalam Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Jerek, Gua Musang pada malam Khamis.
Abdul Hadi berucap dalam Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Jerek, Gua Musang pada malam Khamis.
A
A
A

GUA MUSANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa UMNO sudah berada pada zaman nyanyuk kerana melantik pemimpin secara ‘ikut suka’.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, keadaan berkenaan menyebabkan ramai kalangan pemimpin dan ahli UMNO meninggalkan parti itu selain ahli yang masih kekal berada dalam UMNO pula sudah tidak mengundi parti.

“Ibnu Khaldun kata yang memerintah lama ini macam manusia juga. Ada zaman kanak-kanak, dewasa, zaman nyanyuk lepas itu mati.

“UMNO yang memerintah sudah berada pada zaman nyanyuk, lantik (pemimpin) ikut suka. UMNO sudah dihinggapi oleh penyakit tua,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Jerek, di sini, pada Khamis malam yang dihadiri ribuan penyokong parti tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Abdul Hadi (depan, kiri) hadir pada Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Jerek, Gua Musang pada malam Khamis.
Abdul Hadi (depan, kiri) hadir pada Ceramah Mega Grand Finale PRK Nenggiri di Jerek, Gua Musang pada malam Khamis.

Abdul Hadi turut mempersoalkan keadaan di Malaysia yang tidak mencontohi negara jiran, Thailand dalam mengambil tindakan kepada pemimpin yang melakukan kesalahan dan didakwa di mahkamah.

“Saya baca berita di Thailand, di negara itu mahkamah buat keputusan supaya Perdana Menteri letak jawatan. Kerana apa?

Artikel Berkaitan:

“Kerana pilih anggota Kabinet orang ada kes mahkamah, yang ada masalah dan telah dihukum. Negeri (negara) kita macam mana?” soalnya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyindir kerjasama hubungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam PRK DUN Nenggiri.

“Sepatutnya di Nenggiri ini UMNO tak bertanding dah, patut DAP bertanding. Yang molek DAP angkat calon dia kerana DAP mendominasi parti memerintah negara kita sekarang,” perlinya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru pengundi Nenggiri keluar memilih wakil rakyat untuk dihantar ke DUN bagi menyuburkan demokrasi negara.

PRK DUN Nenggiri yang akan berlangsung pada Sabtu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Bersatu yang menggunakan logo Pas, Mohd Rizwadi Ismail.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!