Darurat kesihatan di Nias Selatan akibat malaria, denggi

Darurat selama 14 hari diisytihar di Nias Selatan di Sumatera Utara, Indonesia bagi menangani krisis kesihatan susulan wabak malaria dan denggi di kawasan berkenaan. Gambar hiasan
Darurat selama 14 hari diisytihar di Nias Selatan di Sumatera Utara, Indonesia bagi menangani krisis kesihatan susulan wabak malaria dan denggi di kawasan berkenaan. Gambar hiasan
A
A
A

JAKARTA - Darurat selama 14 hari diisytihar di Nias Selatan di Sumatera Utara, Indonesia bagi menangani krisis kesihatan susulan wabak malaria dan denggi di kawasan berkenaan.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, sebanyak 562 kes malaria dan demam denggi dilaporkan di Nias Selatan antara Januari hingga Julai tahun ini.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhairi dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pengisytiharan darurat sehingga 23 Ogos itu merangkumi tujuh mukim termasuk Simauk, Tanah Masa dan Hibala, serta penempatan di empat pulau berhampiran.

Wabak itu turut mengakibatkan lapan kematian, manakala 554 pesakit menerima rawatan dan sembuh, katanya.

"Pihak berkuasa sedang menjalankan usaha pembersihan dan meningkatkan kesedaran awam untuk mengekang penularan penyakit, sementara pegawai kesihatan sedang menaik taraf peralatan perubatan bagi meningkatkan penjagaan kesihatan," kata Abdul Muhairi.

Indonesia, menduduki tempat kedua dalam kes malaria di Asia selepas India, menyumbang kira-kira dua peratus kepada kes malaria global.

Memetik data Kementerian Kesihatan, Abdul Muhairi berkata penurunan kes malaria pada 2023, dengan 418,546 kes dilaporkan berbanding 443,530 pada 2022.

Sementara itu, ujian malaria meningkat kepada 3.5 juta pada 2023, berbanding 3.3 juta pada tahun sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!