Cadangan Pelabuhan Kuantan hub kapal persiaran akan dibawa ke mesyuarat Exco

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Cadangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan potensi Pelabuhan Kuantan di sini, sebagai hub berlabuh kapal persiaran di Pantai Timur akan dibawa ke mesyuarat Exco bagi mendapat pandangan rasmi kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, secara peribadi beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana ia dapat membantu merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti dari semua aspek kerana ia melibatkan banyak pihak.

"Kenyataan menteri berkaitan perkara ini baru semalam, jadi saya tidak boleh menyatakan pandangan rasmi kerajaan negeri berhubung perkara ini lagi sehingga dibawa pada mesyuarat Exco nanti.

"Perkara ini akan dimaklumkan kepada barisan Exco dan dibincangkan dalam mesyuarat itu sebelum mengeluarkan pendirian rasmi kerajaan negeri terhadap perkara ini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Razali berkata, secara dasarnya, kerajaan negeri akan bersetuju dan menyokong setiap usaha yang baik untuk kepentingan rakyat dan negeri.

"Untuk merealisasikan cadangan menjadikan Pelabuhan Kuantan sebagai destinasi berlabuh kapal persiaran ini bergantung kepada keputusan pelbagai pihak, termasuk pihak pelabuhan dan agensi kerajaan terlibat," katanya.

Anthony dalam kenyataannya sebelum ini melihat Pelabuhan Kuantan begitu strategik sebagai destinasi persinggahan kapal persiaran kerana kedudukannya tengah laluan pelayaran kapal persiaran di Laut China Selatan, khususnya dari Singapura-Bangkok-Vietnam-Singapura

Artikel Berkaitan:

Memandangkan ketika ini belum ada terminal pelayaran khusus di Pantai Timur, justeru Pelabuhan Kuantan boleh dinaik taraf dengan menyediakan kemudahan sesuai termasuk terminal penumpang dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Justeru katanya, usaha ke arah itu bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Pelabuhan Kuantan sebaliknya perlu kerjasama kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!