Tok Mat seru warga Nenggiri keluar mengundi, jangan terpengaruh hasutan

Mohamad (tengah) bertemu penduduk di Kampung Limau Kasturi di Gua Musang pada Jumaat.
Mohamad (tengah) bertemu penduduk di Kampung Limau Kasturi di Gua Musang pada Jumaat.
A
A
A

GUA MUSANG - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diminta tidak terpengaruh hasutan pihak tertentu agar tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK), Sabtu ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pengundi perlu menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat yang boleh menjalankan tugas dan mandat diberikan.

"Jadi tidak timbul soal ada sesetengah pihak yang melarang orang lain daripada membuang undi. Kalau setengah negara ia menjadi satu kesalahan jenayah, negara kita belum lagi.

"Nasihat saya jalankan lah tanggungjawab pada negara untuk memilih wakil yang boleh diberikan tanggungjawab," katanya semasa turun padang bertemu penduduk di Kampung Limau Kasturi di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan mengakui wujud hasutan supaya individu lain agar tidak menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRK DUN Nenggiri pada Sabtu.

Menurut Mohamad, pengundi perlu berbuat demikian kerana hak tersebut terjamin dalam perlembagaan negara.

Katanya, PRK merupakan peluang pengundi untuk memilih wakil rakyat yang akan mewakili suara mereka di Nenggiri.

Beliau yakin, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mampu menjalankan tugas jika diberi mandat sebagai wakil rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, hal ini kerana Mohd Azmawi atau Awie sebelum ini telah bekerja di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri dan mampu memperjuangkan banyak isu.

"Insya-ALLAH, bila menang esok. Beliau (Awie) tahu apa nak buat kerana sudah biasa dengan perkara itu sekali gus menjadi wakil rakyat yang efektif.

"Semasa Covid-19 lalu, Awie lah individu yang banyak membantu penduduk di Nenggiri," katanya.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!