Kuantan Port, Northport, MRL bekerjasama hubungkan timur dan barat Semenanjung

Anthony Loke (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pengerusi Kuantan Port Consortium, Lee Chun Fai (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (dua dari kanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada Khamis.
Anthony Loke (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pengerusi Kuantan Port Consortium, Lee Chun Fai (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (dua dari kanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (Kuantan Port), Northport (Malaysia) Bhd (Northport) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan jambatan darat Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang dapat direalisasikan.

Pengerusi Kuantan Port, Lee Chun Fai berkata, MoU berkenaan menggariskan kerjasama menyeluruh bagi mengukuhkan perkongsian strategik merentasi beberapa bidang utama dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan, kelancaran integrasi, kecekapan dan keselarasan pengangkutan dagangan antara kedua-dua pelabuhan.

"Ini termasuk pembangunan pelan strategik bagi mewujudkan jambatan darat bersepadu menghubungkan rel dan operasi pelabuhan yang akan memudahkan pergerakan kargo antara kedua-dua pelabuhan dengan memanfaatkan ECRL serta mengurangkan masa transit.

"Kerjasama ini juga akan memanfaatkan peluang perdagangan yang diperoleh daripada inisiatif Belt and Road dan Halal Silk Route bagi memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan seluruh Asia.

"Selain itu, tumpuan diberikan kepada pembangunan modal insan melalui pertukaran kepakaran teknikal untuk menangani cabaran industri dan memajukan keupayaan operasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung semasa Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan 2024, sempena Ulang Tahun ke-50 Kuantan Port yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan pada Khamis.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Mengulas lanjut Chun Fai berkata, MoU itu juga merupakan langkah transformatif dalam meningkatkan infrastruktur logistik dan perdagangan Malaysia menerusi pengintegrasian Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang melalui Laluan Rel Pantai Timur.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan pergerakan kargo tetapi juga meletakkan Pantai Timur sebagai hab logistik yang penting.

"Sebuah pusat latihan di Northport yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) iaitu Northport International Centre of Excellence (NICE) akan digunakan bagi menyediakan program latihan komprehensif, meningkatkan kemahiran dan kecekapan pelabuhan terbabit.

"Kerjasama ini menzahirkan komitmen kami dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, menarik lebih banyak pelaburan dan mengukuhkan hubungan antara kawasan Pantai Timur dan Barat. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi kami bagi merealisasikan potensi penuh kerjasama ini," katanya.

Tambah beliau, ECRL merupakan projek infrastruktur rangkaian kereta api elektrik sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor, menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Jelas Chun Fai, projek berkenaan bertujuan untuk menghubungkan ibu negeri, pusat bandar utama, hab perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan zon pelancongan dalam masa yang sama memanfaatkan laluan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.

Katanya, projek yang dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2027 itu dibangunkan bagi meningkatkan sistem pengangkutan, memudahkan pembangunan ekonomi serta menggalakkan perdagangan dan pelancongan di sepanjang wilayah Pantai Timur.

Menurut beliau, ECRL memberi keutamaan untuk laluan kargo dengan mengoptimumkan penggunaan rel iaitu sebanyak 70 peratus untuk pengangkutan kargo dan 30 peratus untuk penumpang dengan menumpukan kepada taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit.

“Kerjasama strategik ini merupakan satu peristiwa penting dalam landskap logistik dan pengangkutan Malaysia. Dengan memanfaatkan kekuatan Kuantan Port, Northport dan MR, kami bukan sekadar menghubungkan dua buah pelabuhan, tetapi merapatkan ekonomi dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan.

"Ia juga bakal meningkatkan kelebihan daya saing kami di rantau ini, memacu kecemerlangan operasi dan menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai hab logistik utama Asia Tenggara. Kami teruja dengan peluang yang tersedia dan komited untuk memberikan nilai kepada pemegang taruh dan negara secara keseluruhan," ujar Chun Fai.

Sementara itu, Azman Shah berkata, sebagai pengendali pelabuhan, Northport amat komited dalam membantu pelan strategik Kerajaan bagi meningkatkan kecekapan dan kesalinghubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat dengan menghubungkan kawasan pertumbuhan ekonomi masing-masing.

Menurutnya, MoU berkenaan bakal meningkatkan lagi peranan Northport sebagai Hab Pengedaran Serantau pilihan dan mengukuhkan kedudukan organisasi tersebut sebagai gerbang utama negara.

"Laluan terus ECRL ke Pelabuhan Klang akan membolehkan Northport meningkatkan operasi multimodal, memanfaatkan pembangunan berorientasikan transit untuk taman perindustrian baharu di sepanjang penjajaran laluan kargo ECRL.

"Dengan memanfaatkan kekuatan dan sumber semua pihak yang terlibat, kami berhasrat untuk memastikan pergerakan kargo yang lebih pantas di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak memaklumkan, pemeteraian MoU tiga pihak tersebut membuktikan komitmen untuk merealisasikan jambatan darat ECRL yang akan meningkatkan kesalinghubungan dan kecekapan logistik antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

Katanya, MRL bersama Kuantan Port dan Northport akan membangunkan pelan komprehensif yang melibatkan keperluan infrastruktur, prosedur operasi dan garis masa yang akan mengoptimumkan penggunaan jambatan darat ECRL.

"Ini termasuk menyelaraskan usaha antara semua pihak bagi memastikan integrasi lancar bagi operasi rel dan pelabuhan serta pergerakan kargo antara Kuantan Port dan Northport.

“Jambatan darat ECRL yang berhubung dari pelabuhan ke pelabuhan juga akan melengkapkan akses yang lebih mudah kepada aliran perdagangan Timur-Barat kerana ia mempunyai kesalinghubungan terus antara Kuantan Port yang menghadap Laut China Selatan dan Northport di laluan Selat Melaka.

"Jambatan darat ECRL dijangka akan memendekkan masa perjalanan kapal kargo sehingga dua hari setengah di sepanjang laluan maritim yang paling sibuk,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!