Dua sahabat kolej vokasional maut nahas
TUMPAT - Dua sahabat karib maut dalam kemalangan di Jalan Pasir Pekan, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi (Khamis) ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 18 tahun Muhammad Aqil Zulaini, dari Taman Seri Embun, Pasir Mas dan Mohammad Ameer Haziq Noor Ariff Irwantoo dari Negeri Sembilan menunggang motosikal berasingan disahkan maut di lokasi kemalangan.
Dalam kejadian itu, dua penuntut Diploma Automatif Kolej Vokasional Pengkalan Chepa berkenaan dikatakan membuat pusingan U di lokasi kemalangan sebelum terlanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.
Sementara itu, ibu Muhammad Aqil, Hanisah Mohd Zin, 45, ketika ditemui memberitahu, tidak menyangka soto dan lokcing yang dihidang pada petang sebelum kejadian merupakan menu terakhir dijamah anaknya.
Berkongsi pertemuan terakhir pada petang Khamis (semalam) kata Hanisah, Muhammad Aqil sangat gembira kerana semua adik beradiknya berkumpul termasuk kakaknya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan bapanya, Zulaini Mustapha, 52, yang bekerja di Grik, Perak.
Guru di sebuah sekolah di Pasir Mas berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu turut memberitahu soto yang dibawa pulang dari tempat kerjanya itu tidak seenak yang dimasak sendiri.
"Jadi hari ini saya fikir mahu memasak soto untuk dia (Muhammad Aqil) selain merancang keluar bersantai bersama keluarga tetapi dia sudah meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat pada Jumaat.
Katanya lagi, ketika minum petang itu dia ada memaklumkan mahu keluar bersama rakan.
"Memang dia keluar selepas Maghrib dan kemudian pulang semula sebelum keluar kali kedua yang meragut nyawanya," katanya.
Hanisah menjelaskan, dia menerima panggilan daripada seorang anak saudaranya kira-kira jam 12.45 yang memaklumkan Muhammad Aqil kemalangan.
Terkejut dengan kejadian itu, Hanisah terus bergegas ke lokasi kejadian namun tidak kuat untuk keluar kenderaan melihat keadaan anaknya yang sudah terbaring di lokasi.
Jelasnya, selepas pengecaman yang dilakukan oleh seorang anak saudaranya didapati Muhammad Aqil cedera parah dan dimaklumkan kaki kirinya putus akibat kemalangan berkenaan.
"Saya juga tidak sanggup melihat gambar kemalangan yang ditularkan pengguna media sosial," katanya.
Sementara itu, ibu saudara Mohammad Ameer Haziq, Sharifah Ismail, 59, berkata, arwah anak saudaranya itu tinggal seorang diri di rumah ibu bapanya di Kampung Surau, Pasir Pekan.
"Orang tuanya tidak berada di Kelantan kerana mengajar di Negeri Sembilan," katanya.
Tambah Sharifah, sebelum ini arwah ada memberitahunya mahu pergi ke sebuah lokasi air terjun bersama rakan-rakan dan meminta kebenaran untuk mereka bermalam di rumah orang tuanya.
Katanya lagi, ibu Mohammad Ameer Haziq juga ada memaklumkan beberapa hari sebelum kejadian, arwah ada berkongsi status mengenai kematian di media sosial.
"Dia juga berpesan supaya menjaga auratnya jika dia sudah meninggal dunia dan selalu melawat pusaranya.
"Kami tidak menyangka status itu merupakan satu petanda dia akan pergi meninggalkan kami," katanya.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan kejadian berkenaan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Jenazah Mohd Ameer Haziq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pauh Ganja, Pasir Pekan manakala jenazah Muhammad Aqil di Tanah Perkuburan Kampung Banggol, Pantai Cahaya Bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!