Peniaga tipu perjanjian sewa rumah didenda RM6,000

A
A
A

BALIK PULAU - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga dikenakan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menipu perjanjian sewaan sebuah rumah pada 6 Ogos 2021.

Lim Chong Lim, 42 dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menipu seorang lelaki secara bersemuka dengan menggunakan maklumat butiran kad pengenalan milik seorang lelaki lain yang telah meninggal dunia.

Tertuduh menggunakan butiran palsu itu untuk menandatangani surat perjanjian sewaan menggunakan khidmat ejen sebuah syarikat untuk menyewa rumah di Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar.

Chong Lim melakukan kesalahan itu untuk tujuan menjalankan aktiviti cari gali bitcoin dengan cara mencuri arus elektrik daripada syarikat Tenaga Nasional Berhad secara haram bermula pada 15 Ogos 2021 sehingga 3 Julai 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Ayer Putih, Balik Pulau pada jam 3.30 petang, 6 Ogos 2021.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Ia memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Lushani memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh berikutan mangsa mengalami kerugian lebih RM100,000 kerana disaman TNB menyebabkan mangsa diisytiharkan bankrap.

Sementara itu, di dalam rayuannya, wakil YBGK memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana tertuduh perlu menanggung bapanya yang uzur.

"Tertuduh seorang peniaga dengan pendapatan bulanan RM5,000. Dia sudah berkahwin dan perlu menanggung bapanya yang uzur.

"Dia juga merupakan pesalah kali pertama, oleh itu, mohon hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh," katanya.

Huey Ting kemudiannya mengenakan denda RM6,000 dan sekiranya tertuduh gagal untuk membayarnya, dia akan dikenakan penjara selama lapan bulan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!