Kerajaan hargai pengorbanan, dedikasi penjawat awam - Cuepacs

Para penjawat awam kelihatan ceria ketika hadir pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 “Perkhidmatan Awam Madani” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
Para penjawat awam kelihatan ceria ketika hadir pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 “Perkhidmatan Awam Madani” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam berasa pengorbanan dan dedikasi mereka dihargai apabila kerajaan melakukan pelarasan gaji melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Penjawat Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, pelarasan gaji tersebut, bukti bahawa kerajaan menghargai penjawat awam yang telah berterusan menabur bakti walaupun gaji mereka tidak disemak semula selama 12 tahun.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh jentera perkhidmatan awam untuk berusaha meningkatan mutu perkhidmatan dan melakukan pembaharuan bermula Isnin ini.

"Betul, selama ini memang kita telah bekerja keras dan memberi perkhidmatan terbaik. Sebab itu kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji.

"Jadi, selepas kenaikan gaji ini, kita perlu segera melakukan pembaharuan agar kita dapat berikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mendengar Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.

Adnan turut mengingatkan bahawa SSPA memerlukan penjawat awam untuk mengekalkan prestasi yang baik dengan adanya pembaharuan dasar, seperti kenaikan markah penilaian prestasi tahunan minimum bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada 85 peratus serta penggunaan sistem MyPERFORMANCE sebagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan.

"Selain itu, dinyatakan bahawa mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak akan layak menerima pelarasan gaji ini. Kerajaan amat menagmbil berat mengenai prestasi penjawat awam," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!