Perkhidmatan bas SBST berwajah baharu

Anthony (dua dari kanan) melancarkan Program SBST di Seremban (koridor Kuala Klawang, koridor Kuala Pilah/Bahau dan koridor Port Dickson di Terminal Bas Kuala Klawang, pada Jumaat.
Anthony (dua dari kanan) melancarkan Program SBST di Seremban (koridor Kuala Klawang, koridor Kuala Pilah/Bahau dan koridor Port Dickson di Terminal Bas Kuala Klawang, pada Jumaat.
A
A
A

JELEBU - Perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di seluruh negara kini akan berwajah baharu, dengan warna merah jambu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilihan warna berkenaan bagi menampilkan imej yang lebih menarik dan ceria.

"Selepas ini semua perkhidmatan SBST di seluruh negara akan tampil dengan wajah baharu, warna merah jambu yang lebih ceria.

"Dulu warnanya agak bosan sikit dan gelap. Sekarang kita nak warna ceria dan terang supaya dari jauh orang dah nampak bas itu, malah nak naik bas pun rasa gembira," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program SBST di Seremban (koridor Kuala Klawang, koridor Kuala Pilah/Bahau dan koridor Port Dickson di Terminal Bas Kuala Klawang di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, kata Anthony, semua syarikat pengendali yang dilantik diberi tempoh enam bulan untuk menggantikan bas lama mereka.

Tambahnya, sekiranya mereka gagal berbuat demikian, penalti berat akan dikenakan.

"Hampir setiap negeri ada program SBST ini kecuali Pulau Pinang dan Lembah Klang kerana di negeri ini sudah ada Rapid Bus.

Artikel Berkaitan:

"Jadi setiap negeri akan ada pelantikan kontrak baharu yang akan dibuat secara berfasa-fasa kerana ia tertakluk tempoh kontrak sedia ada," katanya.

Ujarnya, prestasi setiap pengendali juga akan dipantau oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat melalui sistem pengesanan global(GPS) bagi memastikan kepatuhan jadual perjalanan ditetapkan.

No Image Caption

"Kita tak mahu lagi dengar ada terpaksa menunggu dua hingga jam tiada bas. Dengan adanya sistem GPS ini kita boleh buat pemantauan," katanya.

Selain itu katanya, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang melancarkan bas baharu berkenaan yang melibatkan keseluruhan peruntukan RM179.1 juta bagi tempoh lima tahun.

"Saya juga amat berbesar hati untuk mengumumkan penjenamaan semula perkhidmatan SBST Seremban sebagai BAS.MY Seremban yang dapat memberi imej baharu lebih ceria.

"Kerajaan merasakan telah tiba masanya satu anjakan paradigma yang lebih menyerlah dilakukan bagi menonjolkan bas-bas ini sebagai produk kerajaan yang lebih ceria, menyenangkan dan sangat dekat di hati rakyat terutamanya golongan muda," katanya.

Pada masa sama jelasnya, kemudahan pembayaran tanpa tunai turut diperkenalkan yang diharap dapat menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, turut disediakan ialah perkhidmatan dari pintu ke pintu secara tempahan bagi membawa pesakit ke hospital.

"Perkhidmatan ini adalah perkhidmatan berbayar dengan tambang minimum, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!