SPM syarat kelayakan minimum perkhidmatan awam

Anwar dalam ucaptama Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Anwar dalam ucaptama Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seiring dengan peningkatan syarat lantikan itu, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan.

"Perkara ini akan menggalakkan penugasan berbilang dan kemahiran berbilang dalam kalangan pegawai sebagai pulangan kepada kerajaan, penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam dapat dioptimakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurutnya, skim yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain.

“Ia akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang seperti contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wayarles dan jurusolek,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut bersetuju untuk menyeragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa serta meminda syarat lantikan bagi skim perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Langkah tersebut bagi memastikan perkhidmatan awam mendapat bakat terbaik berkhidmat selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa.

“Saya mahu Jabatan Perkhidmatan Awam melakukan audit perjawatan yang menyeluruh, bagi mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan mungkin berlaku di seluruh kementerian dan agensi serta mengambil tindakan penyelarasan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Rasionalisasi Pejabat-Pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri berkuatkuasa pada 1 Januari 2025.

Jelasnya, isu pertindihan fungsi dan peranan pejabat wakil agensi kerajaan di luar negara dan mekanisme terbaik untuk mengoptimakan penggunaan sumber dalam pengoperasian pejabat perwakilan sama ada dari aspek sumber manusia dan fasiliti akan dilaksanakan dengan prinsip ‘shared resources’.

"Sebagai contoh, agensi yang melaksanakan fungsi promosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan, sewajarnya dipusatkan di bawah satu bumbung bagi mengoptimakan kos operasi," katanya.

Ringkasan berita:

  • Kelayakan Masuk: Kelayakan minimum perkhidmatan awam dinaikkan kepada SPM.
  • Peningkatan Tugas: Beban dan kompleksiti tugas akan ditambah.
  • Penugasan Berbilang: Digalakkan untuk optimasi sumber manusia.
  • Penyelarasan Skim: Skim tidak relevan dipindahkan untuk laluan kerjaya lebih baik.
  • Klasifikasi Semula: Gred jawatan diseragamkan dan syarat lantikan dikaji semula.
  • Audit Perjawatan: Audit dilakukan untuk penyelarasan ketidakseimbangan.
  • Rasionalisasi Luar Negeri: Pejabat perwakilan luar negeri dirasionalisasi mulai 2025.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!