Penggiat industri pelancongan sangkal kos bercuti di Langkawi mahal
LANGKAWI - Penggiat industri pelancongan di Pulau Langkawi menyangkal persepsi kos bercuti di pulau peranginan itu mahal berbanding lokasi pelancongan lain khususnya Selatan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn Bhd, Datuk Alexander Isaac berkata, kos melancong di pulau peranginan itu murah dan berbaloi sekiranya percutian dirancang dengan rapi.
Katanya, sebagai contohnya, kos melancong lengkap pakej penginapan, pengangkutan, makanan dan aktiviti sekitar Pulau Langkawi lebih kurang RM1,000 untuk sebuah keluarga dengan dua orang anak bagi tempoh dua hingga tiga hari.
"Kita tidak boleh bandingkan Langkawi dengan Hatyai, Thailand, sebaliknya jika ingin membuat perbandingan maka kita kena banding dengan Bali, Indonesia ataupun Phuket, Thailand sebab kalau pergi sana memang lebih mahal dari Langkawi.
"Tidak adil bandingkan Langkawi dengan Hatyai, tetapi jikalau hendak banding juga maka bandinglah dengan Phuket," katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, hakikatnya, Pulau Langkawi mempunyai lebih banyak tarikan pelancongan terutamanya sebagai destinasi pelancongan keluarga berbanding Hatyai.
Dalam perkembangan sama, kata Alexander, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan berdaftar semasa melancong di Pulau Langkawi bagi mengelakkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini.
Beliau menegaskan, pelancong tidak akan berdepan masalah termasuklah dikenakan caj tersembunyi sekiranya menggunakan ejen pelancongan berdaftar.
"Mohon kepada semua pelancong untuk menggunakan khidmat ejen pelancongan berlesen, jadi pihak terbabit akan bertanggungjawab untuk perkara berlaku dan tiada kos sembunyi.
"Perspektif Langkawi itu mahal bukan betul, sebaliknya pulau peranginan ini agak berpatutan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi Syed Muhammad Firdaus Syed Putra berkata, persepsi bahawa kos bercuti ke Langkawi mahal diwujudkan kelompok yang tidak arif atau faham mengenai pasaran di pulau peranginan ini.
"Jika kita melancong ke luar negara pun ada tempat yang mahal dan ada yang murah. Jadi kalau kata Langkawi mahal sebenarnya itu salah," katanya.
Beliau berkata, Pulau Langkawi menawarkan gabungan percutian pantai, percutian mewah sehinggalah percutian bajet.
Sehubungan itu, Syed Muhammad Firdaus berkata, pelancong boleh memiliki jenis percutian percutian diinginkan mereka sama ada bajet ataupun sebaliknya.
Menurutnya, pelancong boleh mendapatkan kereta sewa pada harga berpatutan dan selesa melalui aplikasi sahaja.
"Dari segi makan sekalipun di hotel ini, harga stimbot RM39 sahaja, manakala shellout baru RM29.
"Jikalau harga dalam hotel empat bintang pun berpatutan, macam mana kata harga di Langkawi mahal," katanya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai perlu datang ke Pulau Langkawi terlebih dahulu sebelum percaya dengan dakwaan sesetengah pihak sahaja.
"Sokonglah Tahun Melawat Kedah 2025," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!