DMart Segi Fresh cerminan kekukuhan KPF, Felda
PENGERUSI Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan bahawa kebangkitan KPF Trading melalui DMart Segi Fresh merupakan cerminan kekukuhan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dan agensi itu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Ujar beliau, DMart Segi Fresh sedang aktif memperluaskan rangkaian kedai runcit di beberapa tanah rancangan terpilih seluruh negara.
"Langkah ini disokong dengan perancangan mengadakan jelajah promosi bagi memperkenalkan produk-produk kepada lebih ramai peneroka dan komuniti setempat," katanya ketika ditemu ramah selepas mengunjungi reruai DMart Segi Fresh sempena Mini Karnival Segalanya Felda di Felda Perasu, Gua Musang pada Jumaat.
Sementara itu Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, melalui promosi dan pengaktifan kedai runcit, pihaknya berusaha untuk mengembalikan kepercayaan warga peneroka kepada KPF.
Menurutnya, ia juga menjadi satu platform untuk DMart Segi Fresh memperkukuhkan kehadirannya di kalangan komuniti Felda.
"Saya berharap usaha ini dapat memperkukuhkan hubungan antara KPF, peneroka Felda dan masyarakat sekitar, sekali gus memperluaskan lagi pengaruh dan sokongan terhadap perniagaan KPF.
"Kami komited untuk memastikan warga Felda mendapat manfaat daripada usaha yang dijalankan ini," tambah beliau.
Pada sesi karnival tersebut, DMart Segi Fresh yang menawarkan harga istimewa kepada pelanggan termasuk ikan siakap bersaiz besar yang dijual pada harga RM8 seekor berbanding harga pasaran RM12, dan pelbagai produk lain mendapat sambutan yang baik penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!