Taat pemimpin, prinsip kesederhanaan di Malaysia

Peranan taat ulul amri, wasatiyyah aspek penting dalam membina keharmonian nasional

DI TENGAH-TENGAH kepelbagaian kaum dalam negara, potensi untuk keharmonian adalah sangat besar, namun begitu juga risiko ketegangan antara kaum dan agama. Foto CANVA/Gambar kecil: PROF MADYA DR MUSHADDAD (atas) dan DR HASHIM
DI TENGAH-TENGAH kepelbagaian kaum dalam negara, potensi untuk keharmonian adalah sangat besar, namun begitu juga risiko ketegangan antara kaum dan agama. Foto CANVA/Gambar kecil: PROF MADYA DR MUSHADDAD (atas) dan DR HASHIM
A
A
A

MALAYSIA merupakan negara yang terkenal dengan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya.

Dengan lebih 34 juta penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, serta kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, kepelbagaian ini mencipta sebuah persekitaran yang unik.

Di tengah-tengah kepelbagaian ini, potensi untuk keharmonian adalah sangat besar, namun begitu juga risiko ketegangan antara kaum dan agama.

Dalam konteks ini, memahami dan mengaplikasikan prinsip-prinsip Islam yang mendorong toleransi dan keseimbangan adalah penting dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.

Wasatiyyah - sederhana, adil dan tidak melampau

Wasatiyyah berasal dari perkataan Arab al-wasat yang bermakna pertengahan atau seimbang, merujuk kepada sikap adil dan tidak melampau.

Dalam al-Quran, konsep ini disebut dalam pelbagai konteks yang menekankan kesederhanaan dan keseimbangan, seperti dalam ayat ke-67 surah al-Furqan yang menyeru untuk tidak boros atau kikir; ayat ke-29 dan ke-110 surah al-Isra' yang mengajar tentang tidak melampaui batas serta ayat ke-77 surah al-Qasas yang menekankan keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat.

Dalam sunnah Nabi Muhammad SAW, konsep ini terlihat dalam penolakan terhadap kehidupan asketis (anjuran untuk menanamkan nilai-nilai agama dan kepercayaan kepada Tuhan dengan jalan melakukan latihan rohaniah dengan cara mengendalikan tubuh dan jiwa) yang ekstrem dan mengajarkan hidup sederhana, menjaga keseimbangan antara hak ALLAH, hak individu dan hak-hak sesama manusia.

Artikel Berkaitan:

Para sahabat dan tabiin juga menerapkan wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan termasuk pemerintahan, dakwah, pendidikan, ekonomi dan sosial.

DALAM konteks Malaysia, ketaatan kepada ulul amri merujuk kepada institusi raja berperlembagaan dengan diketuai oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
DALAM konteks Malaysia, ketaatan kepada ulul amri merujuk kepada institusi raja berperlembagaan dengan diketuai oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ulama seperti Al-Mawardi, Imam Al-Ghazali, Ibnu Taimiyyah dan ulama mutaakhirin seperti Muhammad Abduh, Rashid Rida, Mahmud Shaltut dan Hasan Al-Banna memperjuangkan konsep ini.

Mereka menekankan pentingnya keseimbangan antara duniawi dan rohani, menghindari kedua-dua ekstrem dalam kehidupan dan beragama.

Ta’ayush - saling memahami, hormat dan terima perbezaan

Konsep ta'ayush bermaksud kehidupan bersama antara pelbagai kaum dan agama dengan semangat saling memahami, menghormati, dan menerima perbezaan.

Islam menegaskan keadilan, toleransi dan kasih sayang dalam kehidupan bersama berdasarkan keyakinan bahawa manusia berasal dari satu keturunan.

Fiqh ta'ayush dalam konteks bernegara menggariskan prinsip-prinsip utama seperti keadilan, kebebasan beragama, tolong-menolong, hormat-menghormati dan menjaga hak serta meraikan keluasan fiqh Islam.

Dalam konteks moden, pendekatan ini mengambil kira kepentingan umum dan keunikan setiap negara.

Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, prinsip fiqh ta‘ayush telah diperkenalkan di Malaysia.

Konsep Muhibah oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Gagasan Madani oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan memupuk perpaduan kaum dan menegakkan prinsip-prinsip ini.

Melalui pelbagai dasar dan program, Malaysia berusaha mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama, membina sebuah negara yang harmoni dan bersatu.

Pemimpin wajib dipatuhi selagi tidak langgar syariat

Kedudukan pemimpin dalam syariat Islam amat tinggi dan mulia. Mereka bertanggungjawab menjaga agama dan mengatur dunia sebagai pengganti tugas kenabian.

Ulul amri adalah kelompok orang Muslim yang memiliki autoriti dalam memutuskan masalah umum, termasuk pemimpin, hakim, ulama, dan pemimpin askar.

Mereka harus dipatuhi oleh umat asalkan keputusan mereka tidak melanggar ajaran agama.

Autoriti ulul amri hanya berkaitan dengan kemaslahatan umat, sedangkan urusan ibadah tetap berdasarkan ajaran ALLAH dan rasul-NYA.

Istilah ulul amri dalam konteks pemerintahan Islam merujuk kepada pemimpin, ketua, presiden atau raja.

Terminologi yang digunakan untuk 'pemimpin atau penguasa' dalam Islam antara lain: Khalifah, Ulil Amri, al-Malik, al-Imam, as-Sultan dan Amir al-Mukminin.

Dalam konteks Malaysia, ia adalah merujuk kepada institusi raja berperlembagaan dengan diketuai oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

YANG DI-PERTUAN AGONG, SULTAN IBRAHIM
YANG DI-PERTUAN AGONG, SULTAN IBRAHIM

Ketaatan kepada ulul amri adalah bersyarat, bergantung kepada kepatuhan kepada perintah ALLAH dan rasul-NYA.

Pemerintahan yang sesuai dengan prinsip Islam adalah yang mengakui ulul amri dan berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Ulul amri diharapkan bertindak sesuai dengan ajaran Islam, jujur dan adil dalam menjalankan tugasnya.

Sebagai kesimpulannya, konsep ta'ayush, wasatiyyah dan taat ulul amri adalah penting dalam mencapai keharmonian dan kemajuan di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Konsep ta'ayush menekankan kerjasama dan saling memahami antara komuniti untuk mencapai perpaduan nasional melalui dialog antara agama dan budaya.

Konsep wasatiyyah pula menggalakkan keseimbangan dan menghindari ekstremisme dalam mengekalkan identiti budaya dan agama sambil memanfaatkan segala perubahan positif.

Konsep ulul amri menekankan pentingnya pemimpin yang adil dan bijaksana yang menjaga kepentingan umum berdasarkan nilai-nilai Islam.

Di samping itu, institusi raja berperlembagaan di Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik dan sosial.

Justeru, dengan mengaplikasikan ketiga-tiga konsep ini, Malaysia dapat memperkukuh keharmonian, toleransi dan kemajuan bersama.

Akhirnya, ia bakal merealisasikan cita-cita negara dalam melahirkan masyarakat yang adil, sejahtera dan berjaya untuk menghadapi cabaran dunia moden.

***PROF MADYA DR MUSHADDAD HASBULLAH merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang/Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, Universiti Sains Islam Malaysia

***DR HASHIM AHMAD SHIYUTI merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!