Bapa tiri didakwa rogol, amang seksual remaja 15 tahun
ALOR GAJAH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun.
Tertuduh yang berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syazana Abd Lajis.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Taboh Naning di sini, pada jam 3 pagi, pertengahan Jun lalu.
Tertuduh juga didakwa mengulangi perbuatannya terhadap mangsa sama di lokasi sama kira-kira jam 9 pagi pada 4 Julai lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan rendah kerana dia hanya bekerja kampung dan ibu bapa yang telah tua.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh jamin RM20,000, selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 23 September depan untuk serahan laporan penuh perubatan terhadap mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!