MYAirline diperintah bayar RM17.7 juta caj perkhidmatan tertunggak

MYAirline diperintah membayar RM17.7 juta caj perkhidmatan lapangan terbang tertunggak kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd. - Gambar hiasan
MYAirline diperintah membayar RM17.7 juta caj perkhidmatan lapangan terbang tertunggak kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, mengarahkan syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline Sdn Bhd membayar RM17.7 juta caj perkhidmatan lapangan terbang tertunggak kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd.

Ia membabitkan RM9.1 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd sementara RM8.6 juta untuk Malaysia Airports Sdn Bhd.

Caj tertunggak yang didakwa itu ialah caj perkhidmatan dan keselamatan penumpang berjumlah RM10,863,478.90; pendaratan (RM5,445,555.45); parkir (RM176,017.92); aerobridge (RM655,760); kaunter daftar masuk (RM267,367) dan caj bayaran lewat (RM339,373.72).

Mahkamah turut membenarkan MYAirline sebagai defendan membayar kos RM10,000 kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd selaku plaintif.

Terdahulu, Pesuruhjaya kehakiman, Gan Techiong turut menolak permohonan MYAirline dengan kos RM30,000 untuk membatalkan saman yang difailkan oleh dua plaintif itu dan meneruskan dengan penghakiman terus (tanpa perbicaraan).

Ketika membaca keputusan itu, Techiong berkata, tiada isu remeh mengenai liabiliti, kerana syarikat penerbangan itu telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh plaintif.

Pada 9 November 2023, dua plaintif itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus, kerana wang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman itu.

MYAirline memfailkan permohonan pada 24 November 2023 untuk membatalkan saman itu atas alasan plaintif perlu menggunakan satu mekanisme penyelesaian pertikaian seperti dinyatakan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebelum memfailkan saman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, defendan mendakwa, tindakan plaintif adalah tidak sah atau pramatang kerana mereka tidak mematuhi serta tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian tersebut.

Pada 18 Oktober 2023, plaintif-plaintif menyaman MYAirline kerana gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan berjumlah RM17,747,553.02 antara Mac hingga Ogos 2023.

Pada prosiding itu, peguam Shannon Rajan, Eric Gomez dan Katelyn Yeoh mewakili Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd manakala Nesema Jalaludheen mewakili MYAirline.

Sebelum ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023.

Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!