Hampir 500kg BEM berjaya ditangkap di Pahang setakat ini

Abdullah (kiri) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat hasil tangkapan ikan BEM menerusi pertandingan di Lipis baru-baru ini.
Abdullah (kiri) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat hasil tangkapan ikan BEM menerusi pertandingan di Lipis baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Hampir 500 kilogram (kg) ikan baung ekor merah (BEM) berjaya ditangkap menerusi Pertandingan Moh Tangkap BEM di Pahang sejak 2022 hingga kini.

Usaha tersebut diambil oleh Jabatan Perikanan Pahang bagi membanteras dan mengurangkan populasinya di perairan sungai di negeri ini.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pertandingan di beberapa lokasi di negeri itu telah dilakukan setakat ini.

"Di Jerantut pada 2022 sebanyak 300kg BEM berjaya ditangkap diikuti di Lipis pada tahun lalu, 60kg serta daerah sama tahun ini sebanyak 112kg BEM dinaikkan oleh peserta terlibat.

"Pihak jabatan akan menganjurkan pertandingan sama di Temerloh dan Pekan dalam tahun ini juga," katanya setiap pemenang menerima ganjaran wang tunai.

Ujar beliau, selain pertandingan tersebut, jabatan itu juga menganjurkan program kesedaran dan pendidikan berkenaan dengan ancaman spesies ikan asing dengan mengadakan pameran, taklimat, sebaran risalah dan poster.

"Program Inventori Sumber Perikanan Darat turut diadakan di perairan sungai di semua daerah.

"Program ini bertujuan untuk mengenal pasti spesies dan taburan spesies ikan yang terdapat di sesuatu perairan sungai dan memperoleh maklumat berkenaan kepelbagaian biodiversiti perairan yang boleh menjadi petunjuk ancaman-ancaman kepada sumber perikanan sungai," jelas Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Ikan BEM adalah spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan boleh dikenali dengan warna merah pada ekornya manakala dari segi bentuk, warna dan hampir sama dengan baung tempatan.
Ikan BEM adalah spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan boleh dikenali dengan warna merah pada ekornya manakala dari segi bentuk, warna dan hampir sama dengan baung tempatan.

Tambahnya, Penguat Kuasa Jabatan Perikanan juga telah membuat operasi pemeriksaan pematuhan undang-undang Perikanan khususnya Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import Dsb., Bagi Ikan) (Pindaan) 2024, di premis-premis akuarium di daerah Kuantan, Temerloh, Jerantut, Bentong, Bera dan Cameron Highlands pada 22 hingga 26 Julai 2024.

Jelas beliau, sebanyak 12 premis telah diperiksa dengan lima kertas siasatan telah dibuka melibatkan 35 sitaan ekshibit ikan dilarang dalam jadual peraturan namun tiada sitaan melibatkan spesies ikan BEM setakat ini.

Ikan BEM adalah spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan boleh dikenali dengan warna merah pada ekornya manakala dari segi bentuk, warna dan hampir sama dengan baung tempatan.

Dalam jadual Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import Dsb., Bagi Ikan) (Pindaan) 2024 tersebut telah menyenaraikan larangan menyimpan atau mempamer famili, genus atau spesies ikan hidup termasuklah ikan BEM yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!