SMK Tinggi St David juara pertandingan DIY Made Simple 2024

Dari kiri: Ketua Kewangan MR D. I. Y. Group, Anne Chong; Zaleha; Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan MR D.I.Y, Datuk Seri Loo Chong Peng; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Profesor Dr Zamri Radzi; Dekan Fakulti Alam Bina UM, Profesor Sr Ts Dr Azlan Shah Ali; Amer Siddiq dan Naib Presiden Kumpulan MR D.I.Y., Henry Woon bersama juara DIY Made Simple 2024, SMK Tinggi St David, Bukit Baru, Melaka.
Dari kiri: Ketua Kewangan MR D. I. Y. Group, Anne Chong; Zaleha; Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan MR D.I.Y, Datuk Seri Loo Chong Peng; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Profesor Dr Zamri Radzi; Dekan Fakulti Alam Bina UM, Profesor Sr Ts Dr Azlan Shah Ali; Amer Siddiq dan Naib Presiden Kumpulan MR D.I.Y., Henry Woon bersama juara DIY Made Simple 2024, SMK Tinggi St David, Bukit Baru, Melaka.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi St David dari Bukit Baru, Melaka dinobatkan sebagai juara pertandingan DIY Made Simple 2024 setelah berjaya mengalahkan 590 penyertaan daripada 192 sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y Berhad (MR D.I.Y), Zaleha Mohd Mydin berkata, sekolah berkenaan menghantar projek yang diberi nama ‘Simple Shoe Cleaner 1.0’, direka untuk membersihkan tapak kasut pelajar daripada kotoran dan rumput selepas kelas pendidikan jasmani.

Projek yang dinobatkan sebagai juara iaitu 'Simple Shoe Cleaner 1.0' dari SMK Tinggi St David, Bukit Baru, Melaka.
Projek yang dinobatkan sebagai juara iaitu 'Simple Shoe Cleaner 1.0' dari SMK Tinggi St David, Bukit Baru, Melaka.

“Sebagai juara, mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, manakala SMK St Peter Kudat (M), Kudat, Sabah berada di tempat kedua menerima RM3,000 dan tempat ketiga milik SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang sebanyak RM2,000.

“Bagi tempat keempat SMK Merapok, Lawas, Sarawak mendapat RM1,000, manakala Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang, Kajang, Selangor menduduki tempat kelima menerima RM500. Selain itu, setiap pasukan turut menerima baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM300, sijil dan trofi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kuantan, Pahang, dan SMK Tinggi St David masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 kerana berjaya mendapat jumlah sukaan terbanyak bagi video pertandingan di platform YouTube dan TikTok.

Projek yang dinobatkan sebagai juara iaitu 'Simple Shoe Cleaner 1.0' dari SMK Tinggi St David, Bukit Baru, Melaka.
Projek yang dinobatkan sebagai juara iaitu 'Simple Shoe Cleaner 1.0' dari SMK Tinggi St David, Bukit Baru, Melaka.

Ujarnya, hadiah sagu hati bagi kategori Anugerah Inspirasi berupa baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM300, sijil, dan trofi juga dianugerahkan kepada sekolah lain yang terlibat antaranya, SMK St Mary, Limbahau, Papar, Sabah; SMK Tasek Utara, Johor Bahru, Johor; SMK Shahbandaraya, Klang, Selangor dan SMJK Phor Tay, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, program berkenaan mengiktiraf Jabatan Pendidikan Negeri yang membantu menggalakkan penyertaan dari negeri masing-masing dengan Jabatan Pendidikan Perak merangkul tempat pertama, diikuti Jabatan Pendidikan Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

"Sejak dilancarkan pada 2017, pertandingan DIY Made Simple telah melibatkan lebih 6,200 pelajar daripada 715 sekolah di seluruh negara, dengan 1,242 penyertaan projek setakat ini.

"Pada 2022, MR D.I.Y. mengumumkan bahawa ia akan meneruskan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) untuk tempoh tiga tahun lagi, bagi pertandingan pada 2023 hingga 2025. Untuk maklumat lanjut mengenai MR D.I.Y. dan pertandingan DIY Made Simple, layari laman web www.mrdiy.com dan media sosial, Facebook serta Instagram," katanya.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, semangat kelestarian perlu dipupuk dalam diri generasi muda di Malaysia jika mahu melindungi bumi untuk generasi akan datang.

Peserta pertandingan DIY Made Simple 2024.
Peserta pertandingan DIY Made Simple 2024.

Tambahnya, matlamat penganjuran pertandingan DIY Made Simple tersebut adalah untuk membina pemahaman yang kuat dan penghargaan terhadap proses penggunaan semula, kitar semula serta pengubahsuaian bagi menghasilkan impak yang positif kepada persekitaran binaan berbeza.

“Tema pertandingan tahun ini, 'Ciptaan Hebat daripada Bahan Sisa: Edisi Kertas dan Plastik' yang menyeru pelajar untuk mempertingkatkan kemudahan sekolah dengan menggunakan bahan sisa kertas serta plastik dengan bijak bagi mengurangkan kos dan menggalakkan kelestarian.

"Kami sangat berbangga dengan perkembangan program ini sejak dilancarkan pada 2017. Kami percaya program ini akan mencipta kesan gelombang di seluruh negara dan bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan positif.

“Terima kasih kepada semua organisasi yang terlibat dalam pertandingan ini. Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama yang kukuh antara MR D.I.Y. dengan UM, Kementerian Pendidikan dan pelajar, guru serta ibu bapa. Tahniah kepada anda semua,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penglibatan Komuniti UM, Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, penganjuran berkenaan merupakan pertandingan unik yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan kreativiti dan memupuk inovasi.

Menurutnya, ia dilihat mampu mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan kecekapan yang penting untuk meraih kejayaan dalam dunia global.

"Inisiatif ‘DIY Made Simple’ membuktikan kuasa kerjasama dan komitmen berterusan daripada semua rakan kongsi dalam menghasilkan impak yang besar kepada komuniti.

“Penting bagi universiti, badan kerajaan, industri, organisasi bukan kerajaan dan media untuk bekerjasama serta saling menyokong dalam melaksanakan inisiatif yang dapat membawa hasil kepada masyarakat. Bersama-sama kita boleh menghasilkan perubahan sebenar,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!