Perkasa kaedah pengurusan tanaman padi negara
PUTRAJAYA - Setelah lebih 50 tahun menggunakan kaedah pembajaan sendiri, Projek Rintis Pembajaan Tepat di Jelapang Padi, menjadi titik tolak pemerkasaan kaedah baharu pengurusan tanaman padi negara yang lebih efisyen seterusnya meningkatkan hasil padi negara.
Inisiatif baharu bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu, sekali gus mampu menambah bekalan beras tempatan untuk jangka masa panjang.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmod berkata, buat masa ini, perlaksanaan tersebut meliputi 20,371 hektar kawasan penanaman padi terpilih iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.
Menurutnya, jangkaan peningkatan hasil bagi keempat-empat kawasan tersebut adalah bersandarkan perawatan tanah melalui pembajaan secara tepat yang menjadikan kawasan penanaman padi berada dalam tahap terbaik.
“Kita mahu hasil padi meningkat dengan kos petani tak bertambah. Maknanya kita cuba tukar kaedah dengan meningkatkan hasil sekurang-kurangnya satu hingga dua tan metrik bila kita buat pembajaan tepat.
“Penanaman padi perlu dibuat dengan pH (tanah) pada sekitar lima dan ke atas sebelum benih padi ditaburkan.
“Kaedah ini tidak pernah dibuat oleh petani-petani...kita buat rawatan tanah terlebih dahulu...ini penting sebab selagi kita tak buat kaedah ini ni, selagi itulah kita punya hasil padi tak boleh meningkat,” katanya kepada pemberita ketika sesi penerangan khas, di sini pada Khamis.
Penjimatan
Mengulas lanjut, Azman berkata, seramai 8,718 pesawah terlibat dalam projek rintis berkenaan juga dapat menikmati penjimatan menerusi pengurangan kos untuk kerja-kerja menabur baja kerana akan dilaksanakan oleh pengilang dan penyedia perkhidmatan terpilih.
Katanya, proses menabur baja akan dilakukan dengan menggunakan dron dan dikendalikan penyedia perkhidmatan yang terdiri daripada golongan muda sekali gus menggalakkan minat mereka menceburi bidang padi dan beras negara.
“Biasanya petani perlu keluarkan kos sekitar RM220 setiap hektar untuk menabur baja, maknanya dengan pembajaan tepat ini kita dapat kurangkan kos mereka.
“Pemilihan syarikat pembekal baja dibuat secara terbuka kepada pengilang dengan syarat-syarat ditetapkan termasuk perlu ada kerjasama dengan penyedia perkhidmatan. Kita galakkan syarikat lokal terlibat, kebanyakan yang urus dron untuk proses tabur baja ni adalah golongan muda.
“Jadi, bila buat projek rintis ni, kita bagi peluang kepada golongan muda terlibat dengan projek ini. Selama ni kebanyakan pesawah di Selangor menggunakan Bangladesh sebagai pekerja dan ada yang tak mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Kawal pembaziran, ketirisan dana kerajaan
Azman menjelaskan, pembajaan tepat yang benar-benar mengikut keperluan kawasan tanaman padi dapat mengelakkan berlakunya pembaziran baja subsidi seterusnya mengawal ketirisan dana kerajaan.
Beliau yakin meskipun kaedah baharu itu dilaksanakan untuk satu musim, keempat-empat kawasan akan menunjukkan peningkatan hasil lebih baik.
“Untuk melihat hasil sebenar, kita memerlukan empat kali musim iaitu selama dua tahun. Jadi kita dah angkat perkara ini kepada Kementerian Kewangan agar peruntukan diteruskan untuk musim seterusnya dan dapat dikembangkan ke kawasan tanaman padi lain.
“Peningkatan hasil padi melalui pembajaan tepat ini tidak mustahil. Jabatan Pertanian juga kini sedang membangunkan sistem yang membolehkan pesawah mengakses maklumat dan data status kesuburan tanah mereka,” katanya.
INFO PROJEK RINTIS PEMBAJAAN TEPAT DI JELAPANG PADI
-Bernilai RM100 juta selaras pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.
-Sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka dan RM50 juta untuk membekalkan baja bio dan organik bagi meningkatkan kesuburan tanah.
- Tiga pengilang berjaya dalam tender terbuka dilaksanakan.
- Pengilang adalah berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dalam kod bidang 070199 (Pembuat) dan mempunyai Lesen Pengilang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
- Enam penyedia perkhidmatan terlibat.
- Empat kawasan terlibat iaitu Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.
- Pemilihan kawasan dibuat berdasarkan maklumat dan data pembajaan tepat mengikut status kesuburan tanah yang dilaksanakan oleh agensi serta Jabatan Pertanian Malaysia.
- Projek sudah dimulakan sejak Julai bagi tempoh satu musim penanaman padi (enam bulan).
- Pesawah terlibat dikeluarkan daripada penerima baja subsidi.
- Pesawah yang tidak terlibat dalam projek rintis ini kekal menerima pemberian input pertanian yang sedia ada di bawah subsidi dan insentif yang diberikan kerajaan sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!