Polis tingkatkan kawalan aksi Perak FC-JDT di Ipoh

No Image Caption
A
A
A

SERAMAI 500 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Stadium Perak, Ipoh bagi memastikan perlawanan Liga Super, Perak FC dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT FC) berlangsung lancar pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada pasukan tuan rumah, tetapi kawalan sama turut diberikan kepada pasukan lawan dan penyokong oleh pihak polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang akan mengatur anggota mereka dengan rapi.


AZIZI
AZIZI

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan mereka terjamin, sekali gus mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang perlawanan nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Perak 'Katakan Tidak Pada Jenayah' di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad, Lenggong pada Jumaat.

Katanya, pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium, termasuk kawalan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan, selain tindakan tegas bakal diambil sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan ditetapkan.

Pemeriksaan juga akan dilakukan di pintu masuk dan selepas memasuki stadium membabitkan pemeriksaan badan serta beg penonton untuk memastikan tiada barangan terlarang dibawa seperti mercun, bunga api, suar dan senjata, tambah beliau.

Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan dalam momentum kemenangan selepas menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0, 9 Ogos lepas berbanding skuad Kejor Yob Kejor yang tewas mengejut 1-2 kepada Kuching City FC di Stadium Perak, 30 Julai lalu.

Perak kini menghuni tangga kesembilan Liga Super dengan mencatatkan lima kekalahan dan dua kemenangan dalam tujuh perlawanan serta hanya mengutip enam mata, berbanding JDT dengan 22 mata dan menduduki tangga teratas setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!