Dua sungai di Negeri Sembilan dikesan ada ikan baung ekor merah
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memandang serius ancaman ikan pemangsa, ikan baung ekor merah yang dikesan di dua sungai di negeri ini melibatkan Sungai Triang, Jelebu dan Sungai Muar, Kampung Londah, Tampin.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata,ia berikutan spesies ini membiak dengan sangat pantas dan menjadi ikan pemangsa selain mampu mengganggu keseluruhan rantaian makanan di perairan negeri.
"Lokasi itu dikesan berdasarkan pemantauan bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dengan Komuniti Perikanan Darat dan Nelayan Darat.
"Bagaimanapun daripada program ini menunjukkan ancaman baung ekor merah di sungai-sungai Negeri Sembilan masih belum serius kerana dapatan hanya kurang dari lima ekor setiap program yang kami jalankan,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau yang juga Exco Kanan Negeri Sembilan berkata, sehingga kini juga, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan telah mengajurkan tiga siri Memburu Ikan Baung Merah dari tahun 2022 hingga tahun ini di Sungai Triang, Jelebu.
"Pada Sabtu dan Ahad ini pula, sekali lagi Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan berkerjasama dengan nelayan darat untuk memburu ikan ini di Sungai Muar, Kampung Londah,"katanya.
Katanya, pihak jabatan secara berterusan menggalakkan nelayan darat atau orang awam agar menangkap dan menjual sekiranya mendapati ikan berkenaan terperangkap pada pukat dan joran mereka.
"Selain itu, kita menggalakkan penganjuran program memancing bagi menangkap ikan terbabit, malah tidak melepaskan semula ke perairan sekiranya tertangkap.
"Orang awam juga diharap menjadi mata dan telinga pihak berwajib untuk memaklumkan segera mana-mana aktiviti yang disyaki membuang ikan bukan asli ke perairan sungai di negeri ini.
"Malah langkah berjaga-jaga dan pemantauan rapi dilaksanakan melalui program inventori untuk ikan berkenaan dikeluarkan secara tuntas daripada perairan negeri,"katanya.
Untuk rekod, baung ekor merah berasal dari Sungai Mekong, dan biasanya diternak di dalam sangkar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!