JIM Johor cekup 55 warga asing di premis proses e-waste haram

Sebahagian warga asing yang ditahan ketika serbuan JIM ke premis memproses e-waste haram di kawasan Perindustrian Segamat 2. Foto JIM Johor
Sebahagian warga asing yang ditahan ketika serbuan JIM ke premis memproses e-waste haram di kawasan Perindustrian Segamat 2. Foto JIM Johor
A
A
A

SEGAMAT - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 55 warga asing yang bekerja di beberapa premis memproses sampah elektronik (e-waste) haram dalam satu operasi bersepadu di sekitar Segamat, pada Khamis.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bersepadu yang turut disertai pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Majlis Perbandaran Segamat serta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPRM) itu dibuat susulan aduan penduduk setempat mengenai warga asing yang bekerja di beberapa premis memproses e-waste di kawasan Perindustrian Segamat 2.

Menurutnya, hasil pemeriksaan premis itu juga didapati tidak memiliki lesen sah daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain aktiviti memproses sampah elektronik itu juga dipercayai menjadi punca berlakunya pencemaran bau di kawasan berkenaan.

“Kesemua tahanan warga asing merupakan 34 lelaki warga Bangladesh, 20 lelaki warga Nepal dan seorang warga Kemboja berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Kesemua yang ditahan didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, sebanyak enam notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu terlibat sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.

"Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!