Bantuan RISDA beri manfaat kepada kami

Sejak mengusahakan tanaman getah, Mahasan menerima pelbagai bantuan daripada RISDA seperti skim getah matang, insentif lateks dan bantuan musim tengkujuh.
Sejak mengusahakan tanaman getah, Mahasan menerima pelbagai bantuan daripada RISDA seperti skim getah matang, insentif lateks dan bantuan musim tengkujuh.
A
A
A

GUA MUSANG - Keprihatinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyalurkan pelbagai jenis bantuan dan sokongan kepada pekebun di Malaysia telah memberikan manfaat kepada mereka.

Usaha yang dilaksanakan oleh RISDA untuk membantu pekebun kecil di Malaysia seperti bantuan kewangan, latihan dan kursus, penyelidikan dan pembangunan telah membantu serta meningkatkan taraf hidup mereka dengan lebih baik.

Rata-rata pekebun kecil berterima kasih kepada RISDA dan melahirkan rasa syukur dapat menikmati hidup tenang dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh agensi itu termasuklah mereka yang tinggal di sekitar Gua Musang.

Seorang penoreh getah dari Kampung Perak, Mahasan Hamat, 64, berkata, sejak mengusahakan tanaman getah antara bantuan yang dinikmatinya ialah skim getah matang, insentif lateks dan bantuan musim tengkujuh.

“Selain pendapatan bulanan sekitar RM1,000 hasil menoreh di kebun seluas 0.77 hektar, saya juga mendapat wang lebih daripada tanaman pisang melalui Agro Tanam Semula (TS) yang diperkenalkan oleh RISDA.

“Alhamdulillah, 500 pokok pisang yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu telah pun membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2024, di Kampung Kala Star, di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan korporat Yayasan RISDA kepada penerima semasa Hari Terbuka RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2024.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan korporat Yayasan RISDA kepada penerima semasa Hari Terbuka RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2024.

Hadir dan merasmikan Hari Terbuka RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2024 ialah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada tiga orang anak ini memberitahu, tanaman berkelompok yang diusahakan bersama empat lagi pekebun getah itu menghasilkan pendapatan sekitar RM300 hingga RM400 sekali dituai.

Ujarnya, pisang jenis nangka dan berangan itu sudah berjaya dituai dan dipasarkan kepada pembekal yang datang sendiri ke kebun.

Pelbagai bantuan diterima

Bagi penoreh, Zawiyah Jusoh, 71, dari Kampung Jelekang di sini memberitahu, dia sedang menunggu tanaman semula getah seluas 2.4 hektar yang melibatkan 1,227 pokok.

Kata ibu kepada enam anak itu, proses tanaman semula akan mengambil masa sekitar lima hingga tujuh tahun.

Zawiyah sedang menunggu tanaman semula getah seluas 2.4 hektar yang melibatkan 1,227 pokok hasil bantuan daripada RISDA.
Zawiyah sedang menunggu tanaman semula getah seluas 2.4 hektar yang melibatkan 1,227 pokok hasil bantuan daripada RISDA.



Tambahnya, dia tidak perlu risau pendapatan terjejas kerana RISDA menawarkan bantuan Agro TS iaitu tanaman pokok pisang serta bantuan musim tengkujuh (BMT) berjumlah RM800 yang dibayar empat kali.

“Selain saya sendiri menoreh getah, tiga anak lelaki juga mencari rezeki dengan berbuat demikian.

“Pada tahun ini kami boleh berlapang dada kerana harga getah sedikit mahal berbanding sebelumnya iaitu RM3.50 sekilogram,” katanya.

Bagi Saleh Samah, 61, dari Kampung Kaling di sini melahirkan rasa syukur kerana sepanjang menjadi pekebun kecil pelbagai kemudahan serta bantuan yang telah dinikmatinya melalui RISDA.

Ujar bapa kepada dua anak itu, antaranya ialah semburan luruhan daun pestalotipsis (LDP), Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan Prasarana Asas Perladangan (PAP).

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat melegakan kami semasa harga getah tidak menentu. Kami bersyukur harga getah sudah mulai mencecah RM3 sekilogram dengan keprihatinan kerajaan terhadap pekebun kecil,” katanya.

Saleh juga terlibat dengan tanam semula melibatkan tanah seluas 2.18 hektar yang melibatkan 1,113 pokok.

Pekebun kecil terlibat dalam pengeluaran makanan negara

Projek Agromakanan RISDA mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan mempelbagaikan aktiviti pertanian selain daripada penanaman getah.
Projek Agromakanan RISDA mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan mempelbagaikan aktiviti pertanian selain daripada penanaman getah.



Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, RISDA akan membantu pekebun kecil untuk terlibat dalam pengeluaran makanan negara dengan menggunakan tanah yang kurang atau tidak dimanfaatkan untuk menternak ayam melalui kerjasama agensi tersebut dengan pihak swasta.

“Tujuannya supaya harga ayam dapat diseimbangkan dan ini telah dimulakan oleh Felcra dan akan diikuti oleh RISDA. Ertinya, tanah itu bukan hanya dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil getah tetapi kepada keterjaminan makanan negara.

“Dengan cara ini diharap agar RISDA turut terlibat dalam pengeluaran bahan makanan untuk ayam dan ternakan lain bersama-sama lembaga kemajuan wilayah yang lain bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan ternakan yang diimport,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga mahu penanaman semula dan proses pemulihan terhadap pokok getah berpenyakit dilaksanakan secara berfasa selain memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran.

Ujarnya, memandangkan negara menghadapi kekurangan pengeluaran balak, beliau mahu RISDA menggunakan kayu getah tua sebagai bahan alternatif utama pembuatan perabot dalam negara.

Ahmad Zahid memberitahu, daripada 400,000 hektar tanah pekebun kecil getah yang perlu ditanam semula ini, setiap tahun sekurang-kurangnya 40,000 hektar ditebang.

“Kayu lama akan diproses untuk dijadikan perabot dan ia adalah satu daripada industri yang memberi pendapatan besar kepada negara.

“Kita akan membantu kilang perabot terutamanya di Muar untuk mengeluarkan perabot berasaskan kayu getah bagi tujuan dieksport. Ia akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!