[VIDEO] Keluarga mangsa Elmina tidak rancang ambil tindakan undang-undang
SUNGAI PETANI - Keluarga mangsa pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam tahun lalu, akur dengan keputusan laporan akhir tragedi yang dikeluarkan pada Jumaat selain tidak merancang mengambil tindakan undang-undang berhubung nahas terbabit.
Bapa kepada Muhamad Hafiz yang juga merupakan penunggang motosikal p-hailing yang maut dalam tragedi tersebut, Muhamad Salleh Othman, 58, berkata, walaupun masih terasa kesedihan namun reda dengan ketentuan Ilahi.
"Hati lagi berat jika memikirkan nak lawan (saman), arwah pi macam tu, dia tak akan tenang, bila kita duk lawan dan mungkin beri masalah pada keluarga...tak payah.
"Sepanjang hayat arwah tak pernah bagi masalah pada keluarga, takkan keluarga nak buat masalah, nak 'fight'... tak payahlah. Bila ALLAH ambil dengan cara begitu, kita reda," jelasnya mengakui terdapat peguam yang menawarkan supaya mengambil tindakan undang-undang sebelum ini.
Muhamad Salleh ditemui di rumahnya dekat Taman Sidam Kiri di sini pada Jumaat.
Muhamad Hafiz, 32, merupakan salah seorang daripada 10 mangsa terkorban akibat nahas pesawat terhempas di Elmina, 17 Ogos, genap setahun lalu.
Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang Khamis itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas mengorbankan enam penumpang dan dua kru pesawat selain dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan Muhamad Hafiz.
Turut terkorban dalam nahas terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, nahas membabitkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlaku di Elmina tahun lalu disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Laporan akhir yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati punca utama kemalangan itu adalah peluasan secara tidak sengaja daripada 'lift dump spoilers' yang kemungkinan besar dilakukan oleh juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan itu menyebabkan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat sehingga berlakunya nahas.
Siasatan juga mendedahkan susunan tempat duduk kru tidak mematuhi protokol ditetapkan dalam Manual Penerbangan Pesawat.
Juruterbang utama ditempatkan di kerusi kanan manakala pembantu juruterbang berada di kerusi kiri, yang bertentangan dengan panduan.
"Penyimpangan ini dipercayai menyumbang kepada komunikasi yang tidak berkesan serta pengurusan sumber kru yang lemah," menurut laporan yang dimuat naik laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!