Usah lupa BN bantu kemenangan Amanah Pulai, Simpang Jeram - Mohd Hairi

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram daripada Parti Amanah Negara (Amanah) perlu mengharmonikan keadaan dan menceritakan kembali tindakan jentera Barisan Nasional (BN) membantu mereka menang di kedua-dua kerusi itu.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, jasa BN turun padang membantu kemenangan mereka sepatutnya tidak dilupakan memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram belum pun setahun berlalu.

"Suka untuk saya ajukan soalan kepada Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, adakah YB dinafikan untuk terlibat di dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah?

"Begitu juga kepada ADUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman, adakah YB dinafikan menerima peruntukan dan terbabit dalam sebarang penglibatan urusan di peringkat kerajaan negeri? Adakah YB tidak dibenarkan masuk dan bercakap dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Johor berkata, tindakan Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain yang terus mengeluarkan kenyataan terbuka dilihat seolah-olah cuba mengugut dan cuba memporak-perandakan hubungan harmoni yang sedia terjalin di negeri ini.

Jelasnya, Mohd Zuhan juga mendakwa di Johor, BN dan Pakatan Harapan (PH) hanya berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan.

"Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pun sudah menjelaskan dan menyatakan pendirian untuk memberikan laluan kepada parti penyandang di kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam mana-mana PRK.

"Jika inilah sikap yang ditunjukkan oleh parti Amanah Kluang dan negeri Johor, saya melihat rundingan bagi membentuk satu gabungan yang baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 16 mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) 16 agak sukar menjadi realiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, ADUN Larkin itu menggesa Amanah Johor tidak mengeluarkan kenyataan dangkal sehingga mengugut-ugut dan menafikan keharmonian yang sedia ada di negeri ini.

"Di Johor, sebelum ada Kerajaan Perpaduan pun sudah sekian lama kita bergerak atas semangat Bangsa Johor, semua parti politik bergerak secara harmoni dan dalam Sidang Dewan Negeri.

"Johor dengan caranya dan Johor ada keunikan tersendiri," tegasnya.

Pada 5 Ogos lalu, Amanah Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota.

Ketuanya, Mohd Zuhan dilaporkan berkata, ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Namun, beliau berkata, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota akan diwakili BN.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, pihaknya akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!