[VIDEO] Setahun nahas pesawat di Elmina: Rindu bapa terubat lihat cucu seiras arwah anak

A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerinduan terhadap anak sulung yang terkorban dalam nahas pesawat yang terhempas di Elmina tahun lalu sedikit terubat apabila dikurniakan cucu seiras mangsa.

Bapa mangsa, Muhamad Salleh Othman, 58, berkata, cucu lelakinya, Shah Haidar yang kini berusia 10 bulan itu dikatakan mempunyai iras seakan-akan anaknya, Muhamad Hafiz semasa kecil.

Muhamad Hafiz, 32, merupakan salah seorang daripada 10 mangsa terkorban akibat nahas terbabit.

Ketika kejadian, Muhamad Hafiz merupakan seorang penunggang p hailing yang secara kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Menurut Muhamad Salleh, perasaan rindu terhadap arwah sedikit terubat setelah melihat keletah cucunya yang juga hampir sama dengan arwah apabila mahu bersiar-siar dengan motosikal selepas dia pulang daripada berniaga.

Muhamad Salleh dan Jamilah menunjukkan gambar kenangan arwah Muhamad Hafiz semasa konvokesyen pada 2016.
Muhamad Salleh dan Jamilah menunjukkan gambar kenangan arwah Muhamad Hafiz semasa konvokesyen pada 2016.

"Arwah dulu pun sama, semasa kecil suka dibawa ronda naik motosikal, walaupun letih tetapi lega, apatah lagi bila wajahnya ada iras arwah semasa kecil, mungkin ALLAH ubati kesedihan kami dengan cara begini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sidam Kiri di sini, pada Jumaat.

Muhamad Salleh bagaimanapun mengakui sukar untuk melupakan tragedi nahas terbabit dan kehilangan anak sulung dari lima beradik itu secara tiba-tiba.

Artikel Berkaitan:

"Saya sering terbayang wajahnya biarpun sudah setahun berlalu, kematiannya secara mengejut, amat sukar untuk diterima, namun kami reda, semuanya sudah tertulis," katanya.

Jelasnya, Allahyarham Muhamad Hafiz disifatkan seorang yang tegas terhadap adik beradik lain, namun tidak pernah menyusahkan kedua ibu bapa sama ada semasa hayatnya mahupun selepas kematian.

Shah Haidar, 10 bulan pengubat rindu kerana dikatakan mempunyai iras seakan-akan arwah semasa kecil.
Shah Haidar, 10 bulan pengubat rindu kerana dikatakan mempunyai iras seakan-akan arwah semasa kecil.

"Semasa hayat, dia tidak pernah tinggikan suara dengan saya dan ibunya Jamilah Ismail, 54, dia juga mengingatkan adik-adik supaya tidak berbuat begitu, manakala selepas kematian, urusan pengecaman jenazah sehingga proses pengebumiannya sangat mudah.

"Segala proses dokumentasi untuk bank dan tuntutan insuran juga mudah, dia sudah catatkan dalam diari butir-butirnya, tiada satu pun yang tertinggal, kami tidak perlu ke sana ke mari untuk lakukan proses berkenaan kerana semuanya ditulis lengkap," katanya.

Lebih terharu, mereka sekeluarga sering menerima kunjungan rakan arwah yang datang dari Selangor semata-mata mahu menziarahi pusara di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, di sini.

Kenangan gambar arwah Muhamad Hafiz (belakang) ketika masih kecil.
Kenangan gambar arwah Muhamad Hafiz (belakang) ketika masih kecil.

"Saya tidak tahu apa kebaikan arwah sehingga rakan sekerjanya dari Selangor datang menziarahi dan buat tahlil di kubur setiap dua atau tiga bulan sekali.

"Saya rasa sebak apabila rakan-rakannya sanggup datang dari jauh dan akan pulang semula pada hari yang sama semata-mata untuk ziarah kubur arwah," jelasnya mengucapkan terima kasih atas segala doa yang dikirimkan buat arwah.

Muhamad Salleh dan Jamilah ketika ditemui di rumah mereka dekat Taman Sidam Kiri, Sungai Petani pada Jumaat.
Muhamad Salleh dan Jamilah ketika ditemui di rumah mereka dekat Taman Sidam Kiri, Sungai Petani pada Jumaat.

Dalam kejadian 17 Ogos lalu, pesawat peribadi yang dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan enam penumpang dan dua anak kapal, seorang pemandu e-hailing serta Muhamad Hafiz.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!