Inap desa jadi lokasi sembunyi PATI

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan yang dijalankan di dua lokasi berasingan pada 15 dan 16 Ogos lalu.
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan yang dijalankan di dua lokasi berasingan pada 15 dan 16 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali Geng Putra didalangi warga Indonesia tumpas menerusi serbuan berasingan di dua inap desa dekat Labu, Negeri Sembilan dan Kajang baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dijalankan pada 15 dan 16 Ogos lepas susulan risikan dan maklumat yang diterima pihaknya.

"Serbuan di sebuah inap desa dekat Labu, Negeri Sembilan kira-kira jam 6.30 petang berjaya menahan seramai 17 warga Indonesia dan enam warga Myanmar.

"Serbuan berikutnya yang dijalankan dekat Kajang kira-kira jam 2 pagi menahan seramai 12 warga Indonesia serta seorang individu yang memegang status Pemastautin Tetap di negara ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan dalam dua serbuan itu berumur antara 21 hingga 61 tahun.

"Kesemua yang ditahan didapati dalam perjalanan keluar dari negara ini secara tidak sah.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lalu menguruskan urusan perjalanan keluar masuk negara secara haram dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000," katanya.

Menurutnya, tangkapan dijalankan termasuk melibatkan beberapa individu yang bertindak sebagai ejen bagi urusan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi serbuan pertama dan kedua ini merupakan sebuah rumah yang mana berselindung di sebalik inap desa.

"Siasatan mendapati rumah ini dijadikan rumah penampungan migran yang keluar dan masuk ke Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan serta beroperasi kira-kira setahun lalu," katanya.

Tambahnya, tangkapan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!