Malaysia negara kelima rawat rakyat Palestin cedera

Mohamed Khaled pada sidang akhbar Majlis Penerimaan Pesakit Rakyat Palestin di Malaysia pada Jumaat.
Mohamed Khaled pada sidang akhbar Majlis Penerimaan Pesakit Rakyat Palestin di Malaysia pada Jumaat.
A
A
A

SUBANG - Dua pesawat yang membawa 127 orang awam Palestin yang cedera selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada Jumaat.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 41 individu termasuk kanak-kanak yang cedera bersama 86 waris mereka yang merupakan orang awam Palestin yang mencari perlindungan di Mesir berikutan serangan Israel ke atas Palestin.

MenterI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pangkalan Udara Subang telah dijadikan mini hospital bagi persinggahan sementara rakyat Palestin setelah tiba di Malaysia, sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

“Kesemua pesakit yang dibawa ke Malaysia telah melalui proses tapisan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), ATM bagi memastikan setiap daripada mereka boleh melalui penerbangan yang panjang.

“Tiga wad akan digunakan untuk mereka dan sebanyak 26 ambulan akan disediakan untuk pemindahan mereka ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penerimaan Pesakit Rayat Palestin di Malaysia.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak,

Menurut Mohamed Khaled, usaha membawa masuk semua rakyat Palestin itu memerlukan proses kelulusan daripada Mesir.

Antara mereka adalah kanak-kanak, remaja dan dewasa yang mana telah melalui proses dokumentasi menerusi Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini enam negara menyatakan hasrat membawa pesakit ke negara masing-masing dan kita merupakan negara kelima (dunia) dapat membawa masuk dengan misi berjalan lancar,”katanya.

Jelasnya Malaysia tidak berhasrat mewujudkan hospital medan di Palestin kerana mempunyai risiko yang tinggi berikutan ancaman serangan tentera Israel amat tinggi.

“Sebab itu kita tidak meneruskan hasrat itu kerana ketegasan kita akan mengundang risiko yang amat tinggi diserang jika hospital sementara itu didirikan,” katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan akan mengenakan kawalan keselamatan ketat ke atas rakyat Palestin yang dibawa masuk ini, Mohamed Khaled yakin mereka akan selamat di Malaysia.

“Cuma kita putuskan tiada orang awam yang boleh melawat mereka di wad buat masa ini,” ujarnya.

Tambahnya, terbaharu terdapat 4,000 rakyat Palestin di Malaysia dengan 1,200 adalah pelajar menyatakan kesediaan menjadi jurubahasa kepada saudara mereka yang baru tiba.

“Ini persediaan kita kerana soal komunikasi ini akan jadi cabaran dan dengan bantuan mereka (pelajar) ianya dapat membantu menyelesaikan isu komunikasi ini," katanya.

Mohamed Khaled berkata, misi ini dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan serta rasa kebersamaan Malaysia dengan menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera akibat konflik.

"Langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap bantuan kemanusiaan dan sokongan kepada rakyat Palestin.

"Terima kasih kepada Pejabat Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kedutaan Mesir dan Kedutaan Palestin di Malaysia serta lain-lain jabatan kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!