'Prestasi KDNK negara dalam kelas tersendiri' - Rafizi

Rafizi. Foto Bernama
Rafizi. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berada di kelas yang tersendiri berbanding negara serantau apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebih anggaran awal 5.8 peratus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, prestasi negara mencerminkan pencapaian yang bermakna dalam keadaan Indonesia berkembang sebanyak 5.1 peratus, China sebanyak 4.7 peratus, dan Singapura sebanyak 2.9 peratus.

Menurutnya, dengan suasana ekonomi global yang dijangka berkembang hanya 3.2 peratus, pertumbuhan Malaysia telah melebihi jangkaan serantau dan global.

"Ini mencerminkan kekuatan ekonomi kita dan keberkesanan pembaharuan yang telah dilaksanakan.

"Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah berkesan untuk mengawal inflasi dan meningkatkan gaji melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan peningkatan gaji penjawat awam.

"Tumpuan juga diberikan kepada sektor-sektor pertumbuhan strategik seperti semikonduktor dan peralihan tenaga, dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), KL20, Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat mengulas mengenai prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2024.

Tambah beliau, usaha untuk merasionalisasikan subsidi dan mengurangkan defisit fiskal negara juga dapat menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara.

Ujarnya, pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan telah mengukuhkan daya tahan ekonomi negara, sekali gus memastikan meletakkan Malaysia terus berada di hadapan dalam mendepani sebarang cabaran ekonomi global.

Artikel Berkaitan:

"Bergerak ke hadapan, kerajaan mengekalkan optimisme yang sederhana dan terus bersedia. Walaupun Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang, kerajaan menyedari risiko luaran, seperti kenaikan kadar faedah di Jepun dan ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat dan China.

"Faktor-faktor ini mampu memberi kesan kepada ekonomi global dalam bulan-bulan akan mendatang, tetapi dengan asas yang sedang dibina, Malaysia lebih bersedia untuk mengharungi cabaran ini dan terus maju ke hadapan.

"Matlamat negara kekal jelas iaitu mengekalkan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan memastikan negara kekal di landasan yang stabil dan makmur," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!