Sampel cecair vape ‘magic mushrooms’ mengandungi dadah sintetik

Vape jenis ‘magic mushrooms’ mengandungi dadah sintetik yang berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan teruk hingga berpotensi membawa maut. Foto hiasan
Vape jenis ‘magic mushrooms’ mengandungi dadah sintetik yang berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan teruk hingga berpotensi membawa maut. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Rokok elektronik atau vape jenis ‘magic mushrooms’ mengandungi dadah sintetik yang berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan teruk hingga berpotensi membawa maut.

Pusat Racun Negara (PRN) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah melakukan kajian terhadap beberapa sampel cecair rokok elektronik yang didakwa mengandungi dadah jenis psilosibin.

“Tiada dadah psilosibin dikesan dalam sampel tersebut sebaliknya mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya.

“Ini menunjukkan vape sangat mudah dimanipulasi dan penggunaan tanpa kawalan boleh menjurus kepada penyalahgunaan dadah berbahaya termasuklah dadah sintetik baharu seperti ketamin, phencyclidine dan dadah-dadah jenis amphetamine,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada 29 Julai lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat dikejarkan ke hospital di Terengganu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas mengambil vape jenis magic mushrooms.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku apabila mangsa dikatakan rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri ketika berada di sekolah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami sawan akibat pengambilan bahan kimia itu secara berlebihan.

Bagaimanapun, pada 8 Ogos lalu, polis mengesahkan tiada kesan dadah ditemui dalam sampel darah yang diambil daripada pelajar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Kharudin berkata, ia berdasarkan laporan diterima daripada Jabatan Kimia yang memaklumkan keputusannya adalah negatif.

Dalam pada itu, PRN turut memberi amaran kepada orang awam untuk tidak mencuba menghisap vape jika dipelawa oleh orang lain.

“Peningkatan penggunaan vape yang mengandungi dadah berbahaya adalah sangat membimbangkan terutamanya jika berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kelompongan dalam kawalan undang-undang terhadap produk vape telah mula menunjukkan impak kepada rakyat. Setiap detik berlalu, semakin ramai lagi bakal terjebak dengan perangkap dadah melalui amalan menghisap vape yang semakin membudaya,” jelasnya.

Pada masa sama, PRN menggesa orang ramai untuk memaklumkan kepada petugas kesihatan tentang penggunaan vape jika mengalami gejala yang tidak dijangka atau teruk selepas menggunakan peranti berkenaan.

Ringkasan berita:

  • Vape ‘Magic Mushrooms’: Mengandungi dadah sintetik berbahaya, bukan psilosibin.
  • Risiko Kesihatan: Boleh menyebabkan keracunan teruk dan maut.
  • Insiden Pelajar: Pelajar pengsan dan sawan setelah guna vape, namun tiada dadah dikesan dalam darah.
  • Amaran PRN: Elak mencuba vape, terutamanya di kalangan pelajar sekolah.
  • Kawalan Undang-Undang: Kelompongan undang-undang menyebabkan peningkatan penggunaan vape berbahaya.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!